SETELAH diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10 negara hari ini, tular gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bergunting rambut di sebuah kedai gunting rambut dipercayai milik orang Sarawak di Sungai Long, Cheras di Kuala Lumpur.
Difahamkan gambar itu dirakamkan sebelum proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu lalu.
Gambar itu mendapat perhatian nitizen apabila turut dimuat naik di laman facebook rasmi Anwar Ibrahim dengan keterangannya berbunyi:
“Sempat singgah potong rambut setelah selesai berkempen pilihan raya. Singgah ke kedai gunting rambut di Sg Long yang diusahakan oleh saudara Edy, seorang anak muda yang berhijrah dari Miri.”
Walaupun gambar itu dimuat naik tiga hari lalu, ia terus tular hari ini sebaik pengumuman mengenai pelantikan Anwar sebagai peneraju baharu negara.
Sementara itu, wartawan Utusan Sarawak, Adam Liu beberapa kali cuba menghubungi Edy di kedainya – Edy’s Place (M) Sdn Bhd, namun gagal bagi mendapatkan ulasan, yang mungkin ‘melariskan’ kedai gunting rambutnya sekarang.
Setakat jam 4.45 petang ini, ‘posting’ itu menerima lebih 6,200 komen, 51,400 ‘likes’ dan dikongsi 2,500 kali.