
LONDON: Liverpool tewas kali kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas Fulham meledak tiga gol dalam tempoh 14 minit pada babak pertama untuk mencerahkan peluang mereka ke aksi Eropah menerusi kemenangan 3-2 malam tadi.
Keputusan 1-1 yang diraih Arsenal dan Everton semalam meletakkan Liverpool hanya memerlukan 11 mata daripada lapan perlawanan terakhir mereka untuk menjamin gelaran ke-20.
Alexis Mac Allister terlebih dahulu meletakkan The Reds di depan tetapi mereka kemudiannya dibolosi tiga gol menerusi Ryan Sessegnon yang melepaskan satu voli menarik untuk gol penyamaan.
Alexis Mac Allister terlebih dahulu meletakkan The Reds di depan tetapi mereka kemudiannya dibolosi tiga gol menerusi Ryan Sessegnon yang melepaskan satu voli menarik untuk gol penyamaan.
Alex Iwobi dan Rodrigo Muniz memberikan Fulham kelebihan dua gol selepas itu sebelum Luis Diaz merapatkan kembali jurang buat Liverpool pada minit ke-72.
“Tidak selalunya kami melepaskan tiga gol apatah lagi dalam satu perlawanan atau pun 15 minit,” kata pengendali Liverpool, Arne Slot.
“Melepaskan tiga gol seperti yang kami lakukan bukanlah standard Liverpool.”
Begitupun Liverpool masih mendahului carta dengan kelebihan 11 mata tatkala saingan musim masih berbaki tujuh perlawanan.
Kemenangan itu meletakkan Fulham kini berada di tangga kelapan dan hanya dipisahkan tiga mata daripada kelompok lima teratas, yang dilihat mencukupi untuk menjamin satu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Babak pertama kami begitu di tahap yang tinggi. Dapat melakukan 10 percubaan dan meledak tiga gol di babak pertama,” kata pengendali Fulham, Marco Silva.
“Kami mempunyai dinamik, tempo yang bagus dan tenaga yang banyak.” – AFP