
LONDON: Nottingham Forest terus memberi cabaran kedudukan tiga teratas selepas membenam cabaran Ipswich 4-2 lewat malam tadi.
Usaha Forest untuk layak ke pertandingan utama kelab Eropah buat kali pertama sejak tahun 1980 berterusan dengan persembahan dominan di Portman Road.
Pelawat meledak tiga gol dalam tempoh enam minit babak pertama untuk merapatkan satu mata dengan pasukan tangga kedua Arsenal dan menjarakkan kepada enam mata berbanding City.
Nikola Milenkovic mengawal bola muntah dalam kotak penalti untuk membuka tirai jaringan sebelum Anthony Elanga merembat masuk gol pertamanya sejak Hari Boxing selepas satu serangan balas pantas.
Dua minit kemudian Elanga mengambil kesempatan susulan kelonggaran benteng Ipswich untuk meluru dan menyepak masuk gol keduanya.
“Ada detik bagus pada babak pertama yang benar-benar mengubah perlawanan selama enam minit,” kata bos Forest, Nuno Espirito Santo, yang tidak terbawa-bawa dengan impian ke Liga Juara-Juara.
“Kami kena fokus terhadap diri sendiri. Bekerja sebanyak mungkin kerana masih banyak aksi bola sepak yant perlu ditempuhi.”
Jens Cajuste dan George Hirst menjaringkan gol sagu hati lewat buat anak buah Kieran McKenna dengan Jota Silva meledak gol keempat Forest.
Sementara itu, usaha Bournemouth untuk layak ke Eropah buat kali pertama pudar selepas tumpas 2-1 kepada Brentford di laman sendiri.
Gol jaringan Yoane Wissa dan Christian Norgaard membantu kemenangan The Bees selepas gol sendiri Vitaly Janelt membolehkan Bournemouth mendahului. – AFP