BUKIT JALIL: Pernah pulang dari Sukma Sarawak 2024 tanpa sebarang pingat, Hanis Firdaus Bashir tidak menjadikan kekecewaan itu sebagai alasan untuk mengalah.
Sebaliknya, dua tahun kemudian, atlet berusia 17 tahun itu bangkit di pentas Sukma XXII Selangor 2026 untuk menghadiahkan emas kepada Sarawak dalam acara Gimnastik Artistik Individu Gelang Lelaki (Roman Rings).
Bagi anak jati Bandar Baru Samariang, Petra Jaya itu, emas yang diraih pada 22 Ogos lalu bukan sekadar kemenangan, tetapi hasil hampir sedekad perjalanan yang dipenuhi latihan, pengorbanan, kecederaan dan detik ketika dirinya hampir berputus asa.
“Saya mula menceburi sukan gimnastik ketika berusia tujuh tahun. Pada awalnya, saya mencubanya sebagai aktiviti baharu, namun lama-kelamaan saya mula jatuh cinta dengan sukan ini kerana cabaran dan kepuasan yang saya peroleh setiap kali mempelajari kemahiran baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, hari ini.
Perjalanan Hanis bagaimanapun bukan mudah apabila beliau terpaksa berdepan kecederaan, keletihan serta tekanan latihan yang panjang.
Ada ketika, semua itu membuatkan anak bongsu daripada lima beradik tersebut terfikir untuk mengakhiri perjuangannya.
“Pernah ada ketika saya rasa sangat penat dan terfikir untuk berputus asa, terutama apabila berdepan dengan kecederaan dan cabaran dalam latihan.
“Namun, impian saya, sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling serta keinginan untuk membuktikan kemampuan diri membuatkan saya terus bertahan,” katanya.
Di sebalik kejayaan itu, Hanis mengorbankan sebahagian besar masa remajanya untuk gimnastik apabila menjalani latihan dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sebelum disambung dari 3.00 petang hingga 7.00 malam, Isnin hingga Sabtu.
Masa bersama keluarga dan rakan-rakan juga terpaksa dikurangkan demi memastikan persiapan serta prestasinya berada pada tahap terbaik.
“Saya rasa sangat bangga dan terharu kerana diberi kepercayaan untuk mewakili Sarawak. Pada masa sama, ia menjadi satu tanggungjawab besar untuk memberikan yang terbaik dan membawa pulang kejayaan untuk negeri,” katanya.
Kejayaan itu turut tidak lahir daripada usaha Hanis seorang diri apabila keluarga, jurulatih dan rakan seperjuangan menjadi antara sumber kekuatannya sepanjang perjalanan.
Beliau menyifatkan jurulatihnya, Dong Zheong Dong, sebagai antara individu paling penting dalam perkembangannya, selain menjadikan senior seperti Sharul Aimy, Luqman Al-Hafiz dan Chunchen sebagai sumber inspirasi.

“Saya banyak belajar daripada mereka dari segi semangat, disiplin dan cara mereka memberikan persembahan terbaik dalam setiap pertandingan,” katanya.
Menariknya, kejayaan Hanis turut meneruskan kesinambungan emas Sarawak dalam acara Gelang Lelaki apabila Ally Hamuda Abdullah sebelum ini memenangi acara sama pada Sukma XX 2022 di Kuala Lumpur.
Namun, bagi Hanis, emas pertama dalam karier Sukma itu bukan alasan untuk berhenti bermimpi.
Sebaliknya, kejayaan tersebut menyuntik keyakinan baharu untuk beliau menguji kemampuan di pentas yang lebih tinggi.
“Insya-Allah, sasaran saya selepas Sukma adalah untuk menyertai Sukan SEA tahun hadapan dan Kejohanan Asia (Asian Championships).
“Saya juga berharap dapat terus meningkatkan prestasi dan melangkah lebih jauh dalam karier sebagai atlet gimnastik,” katanya.
Buat masa ini, Hanis tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kejayaan apabila hanya diberikan cuti dua hari sebelum kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Katanya, kemenangan itu akan diraikan bersama rakan sepasukan sebelum kembali memberi tumpuan kepada latihan.
Daripada seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang pada awalnya sekadar mencuba gimnastik sebagai aktiviti baharu, Hanis kini berdiri sebagai juara Sukma.
Perjalanan itu mengajarnya bahawa kegagalan bukan noktah dan kecederaan bukan alasan untuk menyerah.
“Jangan mudah berputus asa, sentiasa percaya pada diri sendiri dan teruskan berusaha walaupun menghadapi cabaran.
“Jangan takut untuk bermimpi besar kerana dengan disiplin, usaha dan doa, insya-Allah impian boleh dicapai,” katanya.
Bagi Hanis, emas di Selangor akhirnya menebus kekecewaan dua tahun lalu, namun perjuangannya masih panjang.
Anak muda dari Bandar Baru Samariang itu kini mempunyai sasaran lebih besar bukan sekadar mempertahankan nama Sarawak, tetapi membuktikan dirinya mampu berdiri di pentas antarabangsa.
Oleh Afiq Sallehi





