SADONG JAYA: Persatuan Veteran Tentera Laut Sarawak (Navy FC) terus memperkukuh hubungan bersama komuniti menerusi aktiviti sukan apabila mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak menentang pasukan veteran Kampung Jaie Sadong Jaya, petang semalam.
Perlawanan yang berlangsung di Padang Kampung Jaie itu menyaksikan Navy FC berdepan pasukan veteran tuan rumah, Rezima FC, dalam aksi penuh semangat dan persahabatan.
Bagaimanapun, Navy FC terpaksa akur dengan kehebatan pasukan tuan rumah apabila Rezima FC mencatat kemenangan 5-2 dalam perlawanan tersebut.
Navy FC diketuai Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Sarawak, Kapten Sudin Wa, yang turut turun padang bersama barisan pemain veteran bagi memeriahkan aksi berkenaan.
Walaupun keputusan memihak kepada Rezima FC, perlawanan itu berlangsung dalam suasana harmoni dengan kedua-dua pasukan mempamerkan semangat kesukanan dan persahabatan sepanjang permainan.
Menurut Persatuan Veteran Tentera Laut Sarawak, penganjuran perlawanan berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dirancang bagi mendekati masyarakat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara warga veteran tentera laut dengan komuniti setempat.
Aktiviti sukan seperti itu turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan sosial selain memberi peluang kepada golongan veteran mengekalkan kecergasan fizikal dan mengamalkan gaya hidup aktif selepas menamatkan perkhidmatan.
Pada masa sama, penglibatan veteran dalam aktiviti bersama komuniti dilihat mampu mewujudkan hubungan lebih erat serta memupuk semangat kerjasama antara bekas anggota pasukan keselamatan dengan masyarakat setempat.
Persatuan Veteran Tentera Laut Sarawak komited meneruskan pelbagai program berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan sukan sebagai wadah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, selain memperkukuh semangat persaudaraan dalam kalangan ahli veteran dan komuniti.
Oleh Adi Safarman




