Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • FINAS komited bangunkan industri kreatif secara inklusif
  • HIBURAN

FINAS komited bangunkan industri kreatif secara inklusif

Utusan Sarawak 5 hours ago
PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Multimedia Profesor Datuk Mazliham Mohd Su’ud (duduk,dua,kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (duduk,dua,kanan) pada majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara FINAS dan Universiti Multimedia (MMU) di Universiti Multimedia semalam. Turut kelihatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac (berdiri,lima,kanan). Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menganjurkan sesi dialog awam atau ‘townhall’ bersama penggiat industri kreatif dalam masa terdekat bagi memastikan tiada pihak tercicir daripada arus peluang pekerjaan, meskipun sektor itu terus berkembang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata inisiatif itu penting bagi memahami isu sebenar yang dihadapi kru di lapangan selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pemain industri, khususnya dalam situasi perubahan pesat model perniagaan dan teknologi.

Beliau berkata walaupun data menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan melalui pelbagai inisiatif termasuk projek antarabangsa dan platform digital, masih terdapat segelintir individu yang didakwa berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Kita tidak mahu menutup mata. Jika ada individu tercicir dan tidak mendapat pekerjaan, perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh dengan kerjasama persatuan bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FINAS dan Universiti Multimedia (MMU), semalam.

DATUK Hans Isaac, ketika sidang media sempena majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman antara FINAS dan Universiti Multimedia (MMU) di Universiti Multimedia, semalam. Foto BERNAMA

Mengulas dakwaan segelintir penggiat seni yang menasihatkan golongan muda agar tidak menceburi industri itu kerana didakwa kekurangan peluang pekerjaan, beliau berkata pemerhatian di lapangan menunjukkan industri kreatif negara kekal aktif.

Azmir Saifuddin berkata pelbagai projek produksi sedang dijalankan di beberapa lokasi termasuk Langkawi dan Johor, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja industri.

“Sebagai contoh, Astro tahun ini mempunyai kira-kira 20 filem untuk diterbitkan dan diedarkan. Selain itu, sekitar 10 hingga 15 filem daripada Media Prima, manakala platform seperti Viu dan iQIYI turut menghasilkan beberapa drama bersiri tempatan,” katanya.

Beliau berkata data pelaksanaan inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) menunjukkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam tempoh 14 hingga 15 tahun, sekali gus menggambarkan pertumbuhan berterusan sektor itu.

Menurutnya penggunaan kru tempatan dalam projek antarabangsa kini mencecah 70 hingga 80 peratus, melebihi syarat minimum 30 peratus yang ditetapkan sejak 2013, manakala dalam bidang animasi, penglibatan tenaga kerja tempatan hampir mencapai 90 hingga 95 peratus.

PROFESOR Datuk Mazliham Mohd Su’ud, bercakap pada sidang media sempena majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman antara FINAS dan Universiti Multimedia (MMU) di Universiti Multimedia, semalam. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, beliau berkata perubahan model perniagaan industri termasuk peralihan pengiklanan ke platform digital serta peningkatan saluran penstriman (over-the-top atau OTT) menuntut tenaga kerja industri meningkatkan kemahiran dan kompetensi bagi kekal relevan.

Selain itu, Azmir Saifuddin berkata FINAS turut melaksanakan program pembangunan kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi membantu penggiat industri menambah kelayakan dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baharu.

Beliau berkata kira-kira 50 pemain industri mengikuti program diploma berasaskan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) tahun lalu yang membolehkan individu berpengalaman sehingga 20 tahun memperoleh kelayakan akademik formal.

Dalam masa sama, katanya FINAS menyediakan sokongan kepada golongan veteran industri melalui dana khas serta pelantikan penggiat sebagai penyelia dalam projek di bawah dana tertentu yang membolehkan mereka menerima bayaran bulanan sepanjang tempoh projek.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen FINAS untuk memastikan pembangunan industri kreatif negara berlangsung secara inklusif dan mampan, selari dengan perubahan pesat ekosistem industri global. – Bernama 

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Britney Spears masuk pusat pemulihan selepas ditahan kerana DUI
Next: Oasis, Phil Collins dan Luther Vandross antara penerima Induksi Rock Hall

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.