
KUALA LUMPUR: Demi menyaksikan detik bersejarah Kuching City FC beraksi di pentas final Piala Malaysia buat kali pertama, sebuah keluarga dari Sarawak sanggup membelanjakan lebih RM15,000 untuk hadir memberikan sokongan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.
Kuching City yang diberi julukan ‘The Cats’ bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final kejohanan berprestij itu yang memasuki edisi ke-99.
Penyokong Kuching City, Cristiano Ronaldo Kuhuam, 19, berkata dia bersama 14 ahli keluarganya termasuk ibu bapa, datuk, nenek serta saudara-mara menaiki penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan perlawanan bersejarah itu.
“Kami semua datang ke sini untuk memberikan sokongan kepada Kuching City yang mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama. Semua ahli keluarga ikut serta sebab kami memang minat bola sepak.
“Anggaran kos lebih kurang RM1,000 seorang termasuk harga tiket kapal terbang dan lain-lain. Harapan mestilah nak tengok Kuching City menang malam ini, supaya semua peminat dari Sarawak dapat tidur lena,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Bapanya, Stanley Kuat, 47, berkata dia pernah menyaksikan era kegemilangan Ngap Sayot, dan menangisi kejatuhan bola sepak Sarawak kerana percaya mungkin tidak sempat untuk melihat pasukan dari Bumi Kenyalang itu kembali beraksi di pentas sebesar itu.
Menurut Stanley, dia mengikuti perkembangan bola sepak Sarawak sejak 1997 dan menyaksikan aksi bersejarah iaitu final Piala Malaysia 1999 melibatkan Sarawak dan Brunei di Stadium Merdeka, di sini yang berkesudahan Brunei menang 2-1.
Kemunculan Kuching City, katanya yang turut mencipta sensasi layak ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan dengan menduduki tempat kedua saingan Liga Super musim ini, kembali membangkitkan semangat penyokong bola sepak di Sarawak selepas sekian lama suram.
“Kami sekeluarga memang meminati bola sepak dan kami hanya ada satu tujuan malam ini iaitu menyokong pasukan Kuching City dengan sepenuh jiwa.
“Sebelum ini ada Sarawak FA tapi dah lenyap. Kuching City ini sudah kira membawa nama Sarawak dan pasukan ini mempunyai potensi besar dan boleh pergi jauh,” katanya.
Mengulas mengenai keunikan nama anaknya, Stanley berkata dua lagi anaknya turut diberikan nama sempena legenda Manchester United, iaitu Eric Cantona dan Ryan Giggs.
Sementara itu, JDT memburu gelaran Piala Malaysia keenam selepas menjuarai pertandingan itu pada 2017, 2019, 2022, 2023 dan musim 2024/2025 manakala Kuching City yang dibimbing Aidil Sharin Sahak berpeluang mencipta sejarah dengan menjulang trofi itu buat kali pertama.
Perlawanan malam ini akan dikendalikan empat pengadil berprofil tinggi dari Qatar sebagai sebahagian daripada usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memastikan standard pengadilan berada pada tahap tertinggi, selaras dengan reputasi kejohanan bola sepak tertua dan berprestij di Malaysia itu.
Sepak mula final Piala Malaysia 2025-2026 antara JDT dan Kuching City itu dijadual berlangsung pada 9.00 malam ini. – Bernama