MANILA: Industri penerbangan Filipina sedang berada di ambang transformasi penting dan bersiap sedia untuk menjadi hab penerbangan di Asia menjelang 2028, dipacu oleh inisiatif penswastaan lapangan terbang dan penyiapan lapangan terbang baharunya.
Setiausaha Jabatan Pengangkutan Filipina Jaime Bautista berkata, kemajuan ini akan disokong oleh peningkatan pelaburan dan penglibatan sektor swasta dalam bidang penting seperti infrastruktur, modal insan dan pembangunan mampan.
“Kami sedang dalam proses menswastakan operasi lapangan terbang wilayah terpilih sebagai sebahagian daripada strategi untuk menambah baik operasi dan penyelenggaraan lapangan terbang.
“Formula itu telah terbukti berjaya dalam penswastaan operasi lapangan terbang antarabangsa kami seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Clark dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu,” katanya di luar acara Sidang Kemuncak Penerbangan Filipina 2024, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan menghadapi kesukaran dalam usaha pemodenan kerana prosedur dan dasar pelaburan yang memerlukan peruntukan dan kewangan.
“Jadi, kami memerlukan sektor swasta untuk membantu kami memodenkan lapangan terbang. Kami hanya menswastakan operasi kerana sektor swasta lebih cekap dan mengutamakan pelanggan,” katanya.
Baru-baru ini pada April, negara itu telah melaksanakan penswastaan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Filipina sebagai hab pelancongan dan pelaburan utama.
Kontrak itu diberikan kerajaan kepada konsortium yang diketuai San Miguel Corp. (SMC) yang menawarkan kerajaan Filipina bahagian hasil sebanyak 82.16 peratus.
Mengikut kontrak itu, kumpulan tersebut yang termasuk pengendali lapangan terbang Incheon Korea Selatan, akan menguruskan lapangan terbang utama Filipina itu sehingga 2039.
Langkah tersebut merupakan penswastaan lapangan terbang utama yang ketiga negara ini.
Melalui perkongsian awam-swasta (PPP), Bautista menjangka kapasiti NAIA dapat ditingkatkan kepada 62 juta penumpang setahun daripada 35 juta.
“Pemulihan lapangan terbang itu dijangka menjana lebih 58,000 pekerjaan berikutan peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancongan,” katanya.
Negara ini juga akan memiliki satu lagi lapangan terbang antarabangsa baharu, Lapangan Terbang Antarabangsa Bulacan, yang sedang dalam pembinaan di kawasan pantai di bahagian utara Manila, ibu kota Filipina.
Filipina diunjur mengekalkan pertumbuhan ekonomi lebih enam peratus menjelang 2029 dan inflasi stabil pada tiga peratus. – Bernama