KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd kecewa dengan tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang melarang kemasukan minyak sawit dan produk keluaran FGV, entitinya serta usaha sama syarikat berkenaan atas dakwaan membabitkan kerahan tenaga kerja paksa.
Semalam, pihak CBP mengarahkan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) berkuat kuasa 30 September 2020 dikenakan terhadap produk FGV atas alasan berdasarkan maklumat siasatan selama setahun mengenai berlakunya kerahan tenaga paksa serta kebimbangan membabitkan khidmat kanak-kanak.
Dalam kenyataan semalam, FGV sebaliknya menegaskan bahawa ia telah mengambil langkah konkrit sejak beberapa tahun lepas yang memaparkan komitmen menghormati hak asasi manusia serta mendukung standard tenaga kerja yang diamalkan.
“Malah, kami merupakan syarikat yang turut menyertai Persatuan Tenaga Kerja Saksama (FLA) berpejabat di Washington dan pada masa ini melaksanakan pelan tindakan jangka panjang komprehensif dan jangka panjang mengikut hubungan kami dengan FLA yang merangkumi beberapa inisiatif untuk memperkukuh pelbagai aspek amalan-amalan tenaga kerja kami,” katanya.
Pelan tindakan FGV bagi 2020 yang telah dilaksanakan secara rasmi pada 31 Mac 2020 juga merupakan hasil perundingan dengan FLA dan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan sivil.
“Di sebalik cabaran akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan FGV terpaksa menyusun semula keutamaan bagi memastikan langkah yang perlu diambil untuk mengekang dan memerangi penularan Covid-19, FGV kekal komited untuk melaksanakan pelan tindakan itu.
“FGV juga percaya kemajuan konkrit telah dicatatkan sejak enam bulan lepas susulan pelaksanaannya yang bermula pada April 2020,” katanya.
Malah, FGV juga yakin ia berada di landasan tepat untuk mencapai tindakan yang sepatutnya selesai menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, FGV akan terus melakukan libat urus dengan CBP untuk membersihkan namanya dan berazam melaksanakan komitmen untuk menghormati hak asasi manusia serta mendukung standard-standard tenaga kerja.
Sementara itu dalam perkembangan lain, saham-saham FGV telah susut sebanyak 6.95 peratus hari ini, susulan laporan membabitkan tindakan CBP tersebut.
Pada 10.11 pagi semalam, saham FGV rugi lapan sen kepada RM1.07 dengan 14.04 juta saham saling berpindah tangan.
Sewaktu dagangan dibuka pagi ini, saham itu diniagakan pada RM1.13 berbanding RM1.15 apabila ditutup semalam.
- Bernama