Festival Kebudayaan Borneo 2026 ditunda dua hari susulan jerebu

Facebook
WhatsApp
DITUNDA DUA HARI... Notis rasmi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memaklumkan Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 ditunda selama dua hari susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

SIBU: Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang ditunda selama dua hari berikutan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara yang melanda kawasan ini.

Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam kenyataan hari ini berkata, festival berkenaan kini akan berlangsung dari 5 hingga 14 September di Dataran Tun Tuanku Bujang, dengan melibatkan Fasa 1 serta TRADEX di Fasa 2.

“Semua pengusaha gerai akan memulakan operasi pada 5 September,” katanya.

Menurut MPS, keputusan menangguhkan festival itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai, penghibur, petugas serta peserta sebagai keutamaan.

Bagaimanapun, persembahan di pentas utama masih diteruskan mengikut jadual dari 6 hingga 12 September.

MPS berkata, kehadiran dan penyertaan dalam aktiviti luar adalah atas dasar sukarela memandangkan keadaan jerebu masih melanda.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pertimbangan sendiri sebelum menyertai aktiviti luar, selain memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu, memastikan tubuh kekal terhidrat dengan minum air secukupnya serta mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu dan cuaca panas.

MPS akan terus memantau keadaan semasa dan berhak menggantung atau mengubah suai mana-mana program sekiranya situasi berkenaan berpotensi menjejaskan kesihatan dan keselamatan awam.