
PARIS, Perancis: Festival Filem Cannes membuka tirai karpet merah semalam bagi penganjuran tahunannya di Perancis ketika industri perfileman berdepan perubahan pesat yang dipacu kecerdasan buatan (AI), selain ketiadaan penyertaan studio utama Hollywood.
Sebanyak 22 filem bersaing merebut anugerah berprestij Palme d’Or bagi kategori Filem Terbaik, yang dimenangi tahun lalu oleh filem thriller politik Iran, It Was Just an Accident arahan Jafar Panahi.
Namun seperti kebiasaan menjelang festival filem terbesar dunia itu, perbincangan di luar layar lebih mendominasi perhatian, khususnya mengenai cabaran perubahan yang dibawa oleh AI serta keputusan Hollywood untuk tidak menyertai acara tersebut.

Pengarah Festival Filem Cannes, Thierry Frémaux, menyuarakan pendirian tegas terhadap penggunaan AI serta kesannya kepada industri, yang menyaksikan peningkatan kehilangan pekerjaan dalam kalangan pelakon suara dan penterjemah, manakala penulis skrip dan pelakon bimbang terhadap kelangsungan kerjaya mereka.
“Apa yang pasti… di Cannes, kami bersama para artis, bersama penulis skrip dan semua dalam profesion ini, termasuk pelakon serta pelakon suara,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Beliau turut mencadangkan bahawa pada masa depan, filem mungkin akan dilabel seperti produk makanan organik atau wain, dengan tanda “filem ini dihasilkan tanpa kecerdasan buatan”.

Namun begitu, festival tersebut pada Isnin mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian penajaan jangka panjang dengan gergasi media sosial serta pelabur teknologi AI, Meta.
Kembali semula
Festival filem terbesar dunia itu lazimnya menampilkan filem bebas dan arthouse, sambil bergantung kepada Hollywood untuk menarik penonton arus perdana.
Namun tiada studio utama Amerika Syarikat melancarkan filem blockbuster tahun ini, termasuk di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada Februari, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa gergasi seperti Universal, Disney atau Warner Bros. tidak menyertai acara Eropah.
“Saya benar-benar berharap studio kembali semula,” kata Frémaux, sambil menyatakan ketidakhadiran itu berpunca daripada isu jadual dan ketidaktentuan industri.

Beliau menegaskan bahawa sinema Amerika masih tetap diwakili, antaranya Paper Tiger arahan James Gray lakonan Adam Driver dan Scarlett Johansson, serta The Man I Love arahan Ira Sachs yang menampilkan Rami Malek menerusi kategori utama.
Tidak ketinggalan, bintang ternama turut memeriahkan karpet merah festival.
Antara tambahan lewat dalam program ialah pertemuan semula barisan pelakon The Fast and the Furious sempena ulang tahun ke-25 filem itu, dengan Vin Diesel, Michelle Rodriguez dan Jordana Brewster dijadual menghadiri tayangan khas.
Pelakon legenda John Travolta pula akan mencuri perhatian apabila memperkenalkan filem sulung arahannya Propeller One-Way Night Coach, yang berkisarkan perjalanan seorang kanak-kanak dalam “zaman keemasan penerbangan”.
Festival itu dibuka dengan tayangan filem Perancis The Electric Kiss sebelum kategori utama bermula, menampilkan juri yang diketuai pengarah Korea Selatan Park Chan-wook serta pelakon Hollywood Demi Moore dan lain-lain.
“Saya tidak dapat menahan perasaan emosi apabila menyedari bahawa buat pertama kali seorang warga Korea menjadi ketua juri,” kata Park kepada AFP di Cannes pada Isnin.
“Detik itu akhirnya tiba.” – AFP