Ferrari didenda selepas Hamilton terlanggar mekanik ketika hentian pit

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Pasukan Ferrari didenda kira-kira US$33,500 selepas Lewis Hamilton melanggar mekaniknya sendiri ketika hentian pit pada Grand Prix Belgium, lapor PA Media/dpa.

Hamilton menyebabkan seorang anggota kru pitnya terjatuh selepas beliau bergerak keluar dari petak pit sebaik menerima isyarat hijau elektronik.

Ketika itu, mekanik berkenaan sedang melakukan pelarasan pada sayap hadapan jentera Hamilton sebelum dilanggar dan terjatuh ke lantai.

“Adakah dia okey?” tanya Hamilton dengan cemas menerusi radio pasukan.

Jurutera perlumbaannya, Carlos Santi, menjawab: “Dia okey. Kami semua okey.”

Jurucakap Ferrari kemudian mengesahkan bahawa mekanik berkenaan “langsung tidak mengalami kecederaan” dan tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan.

Bagaimanapun, Ferrari dipanggil menghadap panel steward, manakala kedudukan Hamilton di tempat keempat turut berisiko sekiranya beliau dikenakan hukuman kedua.

Hamilton, 41, sebelum itu dikenakan penalti lima saat selepas insiden perlanggaran pada pusingan pertama yang menyebabkan George Russell gagal meneruskan perlumbaan.

Ferrari akhirnya dikenakan denda, dengan sebahagian daripada jumlah itu digantung selama 12 bulan. Hamilton pula terlepas daripada hukuman kedua, sekali gus kekal 45 mata di belakang Kimi Antonelli dalam kedudukan kejuaraan.

Menurut keputusan panel steward, FIA dalam kenyataannya memaklumkan: “Pasukan itu komited untuk mengkaji semula prosedur hentian pit mereka bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.

“Insiden itu bukan sahaja tidak memberikan sebarang kelebihan dari segi persaingan, malah menyebabkan kereta nombor 44 mengalami kerugian apabila hentian pitnya menjadi lebih lama. Justeru, insiden itu tidak mewajarkan hukuman sukan, tetapi wajar dikenakan denda yang besar ke atas pasukan.”

Bekas pemandu Ferrari Kimi Raikkonen pernah menyebabkan seorang mekaniknya patah kaki dalam insiden hentian pit yang mengerikan di Grand Prix Bahrain lapan tahun lalu.

Hamilton berkata: “Ya Tuhan, saya benar-benar bersyukur mekanik saya tidak cedera. Saya hanya melihat lampu isyarat dan saya sepatutnya bergerak sebaik sahaja kereta mencecah lantai.

“Saya bergerak dan kemudian ternampak dia di sebelah kanan saya, lalu saya berhenti secepat mungkin. Apa yang bermain di fikiran saya ketika itu ialah insiden melibatkan Kimi. Pada mulanya saya menyangka perkara yang sama telah berlaku, tetapi dia bangun dan bergerak.

“Saya bergerak apabila lampu bertukar hijau. Pelepasan yang tidak selamat biasanya merujuk kepada keadaan yang membahayakan kereta lain, dan tidak semestinya membahayakan pasukan sendiri.”

Hamilton terbabas pada sesi latihan bebas terakhir pada Sabtu sebelum memulakan perlumbaan dari petak kelima. Lantai jenteranya kemudian rosak selepas berlanggar dengan Russell.

Bagaimanapun, juara dunia tujuh kali itu akan menuju ke Grand Prix Hungary hujung minggu depan dengan harapan dapat menambah rekod lapan kemenangannya di litar Budapest. “Saya perlu kembali mempamerkan prestasi terbaik dan memberikan aksi seperti yang saya tahu saya mampu lakukan di Budapest serta bersaing untuk kemenangan,” katanya. – Bernama