PETRA JAYA: Pernah terpaksa menutup operasi kedai makan akibat pandemik COVID-19 tidak mematahkan semangat pemilik premis Parking 76, Mastuyah, untuk bangkit semula dengan konsep perniagaan baharu yang kini mendapat sambutan hangat.
Mengimbas kembali detik awal perubahan tersebut, Mastuyah menjelaskan bahawa keputusan untuk menukar arah perniagaan diambil selepas mengambil kira kesulitan dalam menguruskan kedai makan.

Pada mulanya, beliau hanya membuat roti dan pau sebagai hobi untuk dinikmati bersama keluarga, bukan untuk tujuan jualan.
Minat tersebut kemudiannya mendorong beliau menyertai beberapa kursus pendek anjuran GiatMARA yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berbeza bagi menambah pengetahuan dan kemahiran dalam pembuatan roti serta pau.
Menurut Mastuyah, perniagaan roti memberi kepuasan tersendiri kerana proses penyediaannya lebih mudah diuruskan berbanding perniagaan makanan bermasak.

Antara produk popular yang dihasilkan termasuklah roti mentega, roti sadin, dan donat.
Walau bagaimanapun, menu terbaharunya iaitu ‘salt bread’ atau dikenali sebagai roti garam kini menjadi buruan utama pelanggan sehingga mendapat permintaan luar biasa di luar jangkaannya.
“Kami tidak menyangka ‘salt bread’ ini akan mendapat sambutan seramai ini. Setiap hari kami meningkatkan kuantiti pengeluaran, namun masih belum dapat memenuhi keseluruhan permintaan pelanggan,” katanya.

Bagi memastikan kualiti dan kesegaran roti terjamin, Mastuyah memulakan tugas seawal 4.00 pagi untuk menyediakan adunan.
Proses pembuatan salt bread mengambil masa sehingga lima jam bagi setiap kelompok (batch). Roti dibakar secara berperingkat pada 12.00 tengah hari, dan 4.00 petang jika kuantiti mencukupi untuk memastikan pelanggan menerima roti yang sentiasa hangat dari ketuhar.
Selain pelbagai pilihan roti segar, Parking 76 turut menawarkan pelbagai jenis minuman penyegar seperti matcha dan limau ais bagi melengkapkan hidangan para pelanggan.

Bagi orang ramai yang berminat untuk merasai sendiri kelazatan roti segar di Parking 76, anda boleh terus berkunjung ke premis mereka di Lorong Bunga Akasia, 93050, Petra Jaya.
Buka pada Isnin hingga Jumaat bermula dari 11.00 pagi hingga 7.00 malam.
Oleh sebab sambutan yang amat menggalakkan dan bekalan roti dibakar segar mengikut waktu tertentu, pelanggan dinasihatkan untuk datang awal bagi mengelakkan kekecewaan sekiranya kehabisan stok.
Oleh Ryza Kamil





