



MENITI lebih dua dekad dalam industri muzik tanah air, penyanyi Fazli Zainal kekal berpegang pada prinsip sesebuah karya harus lahir daripada kejujuran emosi, bukan sekadar memenuhi selera semasa.
Mengakui dirinya kini lebih selektif, penyanyi bersuara lunak itu mendambakan karya yang bukan sahaja kukuh dari segi melodi dan lirik, tetapi juga mampu menyentuh emosi dirinya sebagai penyampai utama.
Katanya, sesebuah lagu bukan sekadar produk hiburan, sebaliknya sebuah naratif hidup yang perlu disampaikan dengan penuh penghayatan agar mesejnya tiba di telinga pendengar secara jujur dan berkesan.
“Saya ini susah nak suka lagu. Pada saya, lagu itu adalah sebuah cerita. Kadang-kadang ada cerita yang macam tidak logik, itu yang membuatkan kita ‘turn off’. Saya juga percaya lagu itu ada ‘nyawa’.
“Kalau saya sendiri tak rasa apa-apa, macam mana saya nak hidupkan rasa itu kepada orang lain? Kita bukan sekadar menyanyi, kita (mahu) bercerita dan pendengar mendapat mesej itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pelantun lagu Harapan itu berkata pengalaman lebih dua dekad dalam industri muzik tanah air telah membentuk perspektif beliau bahawa seorang penyanyi memikul tanggungjawab besar sebagai medium emosi yang menghubungkan karya dengan jiwa pendengar.
“Trend boleh berubah, tapi identiti itu penting. Saya dikenali dengan lagu-lagu yang menekankan vokal dan emosi. Itu yang saya mahu kekalkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fazli mendedahkan rezeki tidak menyebelahinya apabila sebuah lagu yang hampir-hampir menjadi miliknya beralih arah ke tangan penyanyi lain untuk dijadikan runut bunyi drama terbitan stesen televisyen swasta.
“Saya memang nak lagu itu, tapi tak ada rezeki. Saya hormat keputusan itu,” katanya, sambil menganggap persaingan sihat sebagai pemangkin kepada kualiti karya.
Mengulas perancangan jangka panjang, Fazli berkata beliau tidak merancang menghasilkan album baharu dalam masa terdekat kerana mahu memastikan setiap karya yang dihasilkan benar-benar berkualiti dan memiliki identiti tersendiri.
“Saya tak kejar untuk keluarkan album semata-mata. Bagi saya, biar setiap lagu itu ada ‘berat’ sendiri. Bila tiba masa, barulah ia sesuai dihimpunkan jadi album,” katanya.
Selain kekal aktif dalam bidang nyanyian, Fazli kini turut memperluas kerjayanya sebagai pengacara majlis dan jurucakap bagi jenama biskut premium yang menembusi pasaran hospitaliti di seluruh negara.- Bernama