ADENG IDRUS
LAWAS: Fasa kedua bantuan sumbangan pek makanan menggunakan helikopter Hornbill Skyways dan helikopter milik Tentera Udara DiRaja Malaysia(TUDM) akan bermula esok (hari ini).
Ini membabitkan kawasan pedalaman di Bahagian Kapit dan Batang Ai.
Penghantaran bantuan itu dilakukan setelah bantuan fasa pertama untuk penempatan di Dewan Undangan Negeri Mulu and Telang Usan pada 5 dan 6 April lalu yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun pada hari Ahad lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah memberitahu, bantuan pek makanan itu juga akan turut dihantar semalam ke kawasan tengah Sarawak iaitu Baleh dan Murum.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Rantaian Makanan dan Bantuan Makanan Sarawak itu turut memantau operasi pengagihan bantuan makanan melalui kediamannya.
Ini berikutan beliau menjalani kuarantin dirinya selepas menghadiri satu mesyuarat yang melibatkan salah seorang ahli mesyuarat positif Covid-19 pada minggu lepas.
Awang Tengah yang dihubungi juga memuji usaha pengagihan bantuan makanan di Sarawak sehingga ke hari ini.
Segalanya berjalan lancar termasuk penghantaran menggunakan helikopter TUDM bantuan makanan ke Bario dan pedalaman Baram pada 5 dan 6 April.
Selain itu, penghantaran juga menggunakan lori serta perahu ke perkampungan di sepanjang sungai serta penempatan yang jauh dalam hutan.
“Kita ingin memastikan setiap hari, ada makanan terhidang atas meja untuk setiap rakyat di Sarawak,” jelasnya.
Awang Tengah memberi jaminan yang bantuan pek makanan itu akan dapat dihantar ke kawasan yang memiliki muka bumi mencabar dan jauh di pedalaman khususnya di Baleh, Belaga, Murum dan Batang Ai menggunakan bantuan udara kerana laluan darat yang sukar.
Semua bantuan itu akan dihantar ke pusat pengagihan di kawasan yang ditetapkan bersama oleh ketua masyarakat dan ketua kampung untuk dibawa balik ke perkampungan serta penempatan masing-masing yang jauh di hulu sungai dan dalam hutan.
Pada masa yang sama, beliau terus mengingatkan agar segala kerja pengagihan bantuan itu menepati ketetapan arahan semasa PKP.
Ini bagi memastikan orang ramai tidak hadir dalam kumpulan besar yang akhirnya tidak membawa makna kepada arahan PKP itu sendiri.
Menyentuh bantuan udara Bomba dan Penyelamat, Awang Tengah memberitahu perkhidmatan helikopter Bomba dan Penyelamat masih lagi diselenggara.
Namun pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menawarkan bantuan aset lain untuk membantu membawa bantuan makanan menggunakan lori dan bot milik mereka.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM16.4 juta untuk bantuan makanan itu dan diagihkan kepada semua jawatankuasa pengurusan bencana Bahagian dan daerah seluruh Sarawak untuk diagihkan ke kawasan masing-masing.
Selain agihan bantuan makanan daripada berbagai agensi kerajaan, pusat-pusat khidmat parti politik, wakil-wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Sarawak, terdapat juga 800 pusat jualan barangan penting yang dibenarkan beroperasi daripada 7.00 pagi hingga 4.00 petang di seluruh Sarawak semasa arahan PKP kedua ini.
“Kita telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) untuk memastikan bekalan dan penghantaran barangan keperluan ini dapat dihantar terus ke pusat-pusat jualan di seluruh Sarawak.
“Oleh itu rakyat perlu bersabar sementara menunggu bantuan ini sampai kepada mereka,” katanya lagi.