PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Duta Komuniti pada Majlis Perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.
PERANAN dimainkan Duta Komuniti, amat luas iaitu termasuk menyebarkan dasar-dasar kerajaan berdasarkan fakta, bagi mengelak diputarbelitkan oleh pembangkang.
Duta Komuniti membantu menyebarkan maklumat tepat dan sahih mengenai isu-isu semasa serta pelaksanaan dasar baharu kerajaan.
Program ini dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Mac lalu. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah diberi amanah sebagai penyelaras program itu.
Bahagian kedua paparan kali ini, Utusan Sarawak menemu ramah beberapa penduduk setempat di Simunjan.
Setiausaha Organisasi Belia Simunjan, Nur Husnina Bujang berkata cara terbaik supaya orang ramai faham benar-benar dasar kerajaan bagi mengelak diputar-belit oleh pihak pembangkang adalah dengan menganjurkan seminar.
“Hal ini kerana, dengan penganjuran seminar, ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya untuk memahami dasar kerajaan.
“Ini supaya mereka tahu yang salah itu tidak semestinya berpunca daripada pemimpin tetapi orang bawahannya ada yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan betul apabila diberi arahan dan tugasan.
“Disebabkan itulah pemimpin terkena tohmahan, cacian dan sumpahan. Selain itu, bercakap depan-depan lebih baik lagi kerana bercakap dari hati ke hati lebih mudah untuk orang fahami,” katanya.
Husnina berkata, kebaikan dan faedah yang diperoleh menjadi Duta Komuniti adalah dapat menambah ilmu pengetahuan, mudah untuk melakukan sesuatu pekerjaan jika sudah tahu banyak perkara selain dapat memberi tunjuk ajar kepada orang ramai dan membantu mereka jika mereka berminat untuk menjadi Duta Komuniti suatu hari kelak.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Gedong, Maharthir Oyak, pula berkata komuniti memainkan peranan tersendiri dalam merapatkan jurang kefahaman terhadap dasar kerajaan.
Oleh itu, katanya, sebagai komuniti yang bertanggungjawab untuk penyampaian maklumat benar dan sahih adalah teras utama supaya tidak disalah-tafsirkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Namun bagi mengelak perkara ini di salahertikan, komuniti haruslah mempunyai fahaman luas dan fakta tepat bagi menangkis segala persolan diajukan oleh pihak pembangkang.
“Berhujah di hadapan mungkin akan menjawab isu-isu dengan segera, namun jika persediaan untuk berhujah itu tiada maklumat yang mendalam akan memakan diri sendiri.
“Oleh yang demikian, bagi mendapatkan kesahihan dan fakta munasabah untuk menangkis segala persoalan, maka seminar dan penyebaran mengenai dasar kerajaan haruslah dianjurkan bagi menerap maklumat sahih dalam komuniti setempat khususnya,” katanya.
Jelas di sini, pihak kerajaan haruslah menyampaikan setiap dasar yang dilaksanakan secara telus dan dalam bahasa mudah bagi membolehkannya difahami setiap lapisan masyarakat.
Jika mudah difahami, katanya, tiada isu putar-belit akan timbul dari mana-mana pihak yang tidak bertanggunjawab.
Menyampaikan berita yang tepat dan sahih merupakan salah satu jihad yang dituntut dan maklumat yang disampaikan juga akan memberi impak serta mampu memberikan maklumat yang telus untuk komuniti.
“Oleh itu, setiap perkara yang baik, InsyaAllah akan mendapat ganjaran yang baik juga dan perkongsian yang baik juga akan mendapat rahmat daripada Nya,” katanya.
Maharthir berkata, Duta Komuniti juga dapat membantu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai dasar kerajaan dan tidak mudah percaya dengan kata-kata yang boleh membawa kehancuran masyarakat.
Sementara itu, Pengurus Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Simunjan (PEDi Simunjan), Mohd Fathihi Fadil berpendapat kerajaan perlu menggunakan platform seperti Facebook rasmi atau saluran khas YouTube dalam memberi kefahaman mengenai dasar kerajaan agar mudah untuk sampai kepada masyarakat.
Kedua, menganjurkan forum atau ‘talk show’ di televisyen untuk memberi kefahaman mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat.
LEBIH RAMAI DUTA KOMUNITI
“Seharusnya, pelantikan Duta Komuniti yang lebih ramai akan memberi impak positif bagi kerajaan untuk menangani isu-isu penyebaran maklumat palsu.
“Ini kerana, duta-duta komuniti yang dilantik boleh menjadi mata dan telinga serta mulut kerajaan bagi menyampaikan dasar kerajaan yang mempunyai fakta dan sahih untuk masyarakat sejagat serta menyatuni persoalan daripada mereka yang inginkan maklumat sebenar.
“Perlu lebih ramai Duta Komuniti. Kerajaan boleh melantik Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah sebagai Duta Komuniti kerana mereka adalah individu paling dekat dengan komuniti,” kata Fathihi.
Ketua Belia kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Simunjan, Mohd Taufiq Aidel pula berkata, duta komuniti amat penting kerana ia dapat membantu setiap masyarakat di seluruh negeri atau negara.
Salah satu kebaikan dan faedah yang diperoleh jika menjadi Duta Komuniti ialah dapat membantu kerajaan terutama wakil rakyat dalam menyampaikan maklumat sahih untuk memastikan rakyat tidak terpengaruh oleh propaganda pembangkang.
Oleh NUR AIN OTSMAN