DARO: Program Tindak Susul Parlimen (TSP), Kementerian Pendidikan (KPM) diteruskan di Igan, semalam hingga hari ini.
Program kali ini adalah siri ke-3 2024, selepas Siri 1 di Selangor dan Siri 2 di Pulau Tioman.
Dalam program dua hari ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pasukan Pendidikan Manusiawi KPM telah mengadakan lawatan kerja untuk meninjau sendiri keadaan di beberapa sekolah di Sibu dan Igan.
Sekolah terbabit ialah SMK Jalan Oya, Sibu; SK Nanga Semah, Daro; SK Kg Kut, Daro; Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro; SK Kg Pangtray Daro; SMK Matu; SK Kg Pergau, Matu dan SK Kampong Tellian, Mukah.
Menterinya, Fadhlina berkata, tumpuan utama Program TSP Siri 3/2024 adalah untuk memastikan isu akses pendidikan sekolah luar bandar dan sekolah daif di Sarawak ditangani.
Katanya, ia selaras dengan iltizam KPM memastikan kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan berkualiti kepada semua sekolah di Sarawak termasuk sekolah luar bandar dan sekolah pesisir sungai.
“Ini juga bertepatan dengan komitmen berterusan kementerian untuk menterjemahkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam konteks pembangunan pendidikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, fokus KPM dalam Program TSP Siri turut diberikan kepada penyediaan fasiliti pendidikan yang selesa untuk murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“KPM yakin bahawa isu sekolah daif yang diberi tumpuan khusus oleh Kerajaan Madani dapat ditangani dengan kerjasama strategik bersama agensi teknikal pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,” katanya.
Dalam program ini, katanya, terdapat projek gantian penuh sekolah daif yang telah siap dan serahkan di SK Kg Tellian.
“KPM turut mewujudkan Centre of Excellence (COE) di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro. Ia dilengkapi dengan peralatan dan teknologi terbaik khusus untuk manfaat guru dan murid.
“Ini selaras dengan hasrat KPM untuk menggalakkan inovasi dalam kalangan guru dan murid serta memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Digital,” katanya.
Katanya, KPM melalui Yayasan Didik Negara (YDN) Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Bahagian KPM turut memberi sumbangan berbentuk keperluan pembelajaran kepada murid di semua sekolah yang terlibat.
Maklumat Program TSP adalah aktiviti turun padang Menteri Pendidikan bersama-sama pihak Pengurusan Tertinggi KPM ke institusi pendidikan.
Kaedah lawatan sebegini merupakan suatu pendekatan terbaik untuk meninjau dan menilai secara ’first hand’ isu yang dihadapi dan seterusnya boleh mencadangkan penyelesaian kepada pihak yang berkaitan.
Pendekatan turun padang ini merupakan salah satu manifestasi KPM di bawah Reformasi Pendidikan bagi meningkatkan akses pendidikan berkualiti dan tahap sistem pendidikan negara demi manfaat semua.
Program TSP Siri 3 Tahun 2024 adalah yang ketiga pada pada tahun ini selepas di Selangor (Siri 1: fokus kepada isu akses pendidikan dan sekolah padat) serta di Pulau Tioman, Pahang (Siri 2: fokus kepada isu akses pendidikan).
Oleh AKUN GIMAN
Gambar
TURUN PADANG….Fadhlina ketika turun padang ke beberapa sekolah di Sibu dan Igan.