DORTMUND, JERMAN: Kylian Mbappe kembali ke padang dengan memakai topeng namun kehadirannya tidak dapat menutup aksi hambar Perancis di Euro 2024 sekali gus menimbulkan soalan mengenai peluang mereka untuk memenangi kejohanan in
Perancis mara ke pusingan 16 terakhir selepas aksi tanpa kalah di peringkat kumpulan tetapi keputusan seri 1-1 berdepan Poland awal pagi tadi di Dortmund menyaksikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua Kumpulan D di belakang Austria.
Ironinya, Austria adalah satu-satunya pasukan yang berjaya ditewaskan oleh naib juara Piala Dunia 2022 setakat ini dalam pertandingan ini apabila mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas anak buah Ralf Rangnick.
Keputusan itu menimbulkan persoalan terhadap kemampuan Les Bleus dan mendorong mereka berada di dalam keadaan sukar apabila peringkat kalah mati bermula.
Mereka seterusnya akan beraksi Duesseldorf, stadium di mana Mbappe mengalami kecederaan patah tulang hidung.
Mereka akan berdepan dengan naib juara dalam Kumpulan E yang mungkin akan terdiri daripada Belgium, Romania, Slovakia atau Ukraine.
Perancis menjadi pasukan terbaik Eropah pada dua Piala Dunia terakhir, memenangi trofi pada 2018 dan tewas menerusi sepakan penalti kepada Argentina pada perlawanan akhir 18 bulan lalu.
Namun hari ini mereka tidak kelihatan seperti pasukan terbaik di benua itu ketika menaruh harapan untuk memenangi Kejohanan Eropah buat kali ketiga sejak meraihnya buat kali pertama pada 2000.
Bagaimanapun, jurulatih Didier Deschamps berkata dia mempunyai keyakinan penuh terhadap kemampuan barisan pemainnya.
“Semangat berpasukan ada, begitu juga dengan kemantapan, dan kami mencipta peluang,” kata Deschamps yang mana hanya Jerman melakukan lebih banyak percubaan ke gawang berbanding Perancis. – AFP