MOSCOW: Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sedang bersedia menghadapi kemungkinan perubahan dalam sokongan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Ukraine jika calon Republikan dan bekas Presiden Donald Trump memenangi pilihan raya presiden AS yang akan datang, lapor Sputnik.
The Washington Post melaporkan, memetik pegawai Eropah, bahawa sekutu terdekat Washington di Eropah sedang bersedia untuk kemungkinan keretakan dalam hubungan transatlantik sekiranya Trump menang pilihan raya pada Selasa.
Bagi mengelakkan kemungkinan perubahan pendirian Rumah Putih mengenai Ukraine, pegawai Eropah berusaha meluluskan pakej bantuan sebelum pilihan raya November.
NATO juga mengambil alih sebahagian tanggungjawab Pentagon dalam menyelaraskan bantuan ketenteraan kepada Kiev, menurut laporan itu.
Pegawai Eropah mengakui bahawa kehilangan sokongan AS dalam sektor pertahanan akan memberi tamparan hebat kepada EU dan telah menyediakan draf tarif perdagangan balas sekiranya Trump kembali mengenakan tarif ke atas produk EU, menurut laporan itu.
Pegawai juga menyediakan strategi untuk rundingan dengan Trump, merancang untuk menawarkan kerjasama menentang China atau peningkatan import AS.
Financial Times melaporkan pada akhir Julai bahawa EU sedang merangka strategi perdagangan sekiranya Trump memenangi pilihan raya, termasuk kemungkinan mengenakan tarif tinggi ke atas import AS jika rundingan untuk meningkatkan perdagangan dengan Washington gagal.
Menurut akhbar itu, rundingan dengan Trump dirancang dimulakan sebelum beliau secara rasmi memegang jawatan jika memenangi pilihan raya. Wakil EU ingin membincangkan dengan Trump senarai produk Amerika yang boleh dibeli blok itu dalam kuantiti besar.
Trump sebelum ini berjanji bahawa beliau mampu mencapai penyelesaian konflik Ukraine melalui rundingan.
Beliau berulang kali menyatakan bahawa beliau boleh menyelesaikan konflik di Ukraine dalam satu hari.
Rusia menganggap isu ini terlalu kompleks untuk penyelesaian semudah itu. Selain itu, Trump sering mengkritik pendekatan AS terhadap konflik di Ukraine serta mengkritik Volodymyr Zelensky. – Bernama – Sputnik