SRI AMAN: Sebagai salah sebuah agensi pusat negeri, Economic Planning Unit (EPU) Sarawak dilantik untuk mengetuai Pasukan Petugas Khas Pemantauan Projek Negeri di Bahagian Sri Aman, manakala Residen Bahagian Sri Aman dilantik sebagai Setiausaha.
Pengarah Economic Planning Unit (EPU) Sarawak, Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata demikian ketika menghadiri Satu Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemantauan Projek Negeri (State Special Monitoring Task Force) Bahagian Sri Aman Bil.1/2020 di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Sri Aman.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dibantu oleh Tuan Indit Bangai, Residen Bahagian Sri Aman sebagai sekretariat bagi Pasukan Petugas Khas ini.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh pelbagai kementerian dan agensi pelaksana bagi projek/program termasuk Projek Rakyat; Rural Transformation Projects (RTP); projek RMKe-11 Pembiayaan Kerajaan Negeri dan Persekutuan; dan projek di bawah alternative funding.
Mesyuarat telah membincangkan mengenai status pelaksanaan dan isu pelaksanaan dan langkah penyelesaian untuk mengelak daripada kerja dan perlaksanaan tertangguh.
Sejurus selepas mesyuarat tersebut, satu sesi randau bersama pihak kontraktor di Bahagian Sri Aman telah diadakan untuk menyampaikan maklumat dasar Kerajaan dan berbincang mengenai pelaksanaan projek dan isu-isu yang dihadapi oleh pihak kontraktor.
Selepas itu, program lawatan tapak telah diadakan untuk turun padang meninjau perkembangan terkini pelaksanaan projek di tapak Projek Upgrading of Waterfront (Pesta Benak Site) dan Projek Naiktaraf SK Melugu, Sri Aman.
Terdahulu, menurut kenyataan dari EPU, sebuah Pasukan Petugas Khas Pemantauan Projek Negeri (State Special Monitoring Task Force) telah ditubuhkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Negeri (SDMC) Bil.2/2020 pada 27 Julai 2020.
Penubuhan Task Force khas ini telah diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Sebanyak 12 Pasukan Petugas Khas Pemantauan Projek Negeri Peringkat Bahagian diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian dan Pengarah Agensi Pusat Negeri untuk bertindak dan menyediakan laporan khusus berkenaan pelaksanaan projek kerajaan negeri dan persekutuan kepada Datuk Amar Setiausaha Kerajaan Negeri.
Peranan Pasukan Petugas Khas ini adalah untuk memantau dan memastikan pelaksanaan dan penyiapan projek dan program pembangunan negeri di peringkat 12 Bahagian di Sarawak mengikut jadual, bajet serta mencapai objektif pelaksanaan.
Task Force khas ini juga akan mengenal pasti dan menyelesaikan isu dan permasalahan yang dihadapi dalam pelaksanaan program/projek di awal peringkat pelaksanaan bagi mengelakkan berlaku projek lewat jadual.
Di samping itu, Task Force ini perlu juga memastikan program/projek dijalan mengikut kaedah yang efektif dan berkesan; mematuhi peraturan dan garis panduan dan memberi faedah kepada kumpulan sasar.
Antara lain, aktiviti bagi Task Force khas ini adalah termasuk mesyuarat, lawatan tapak berkala dan perbincangan serta dialog dengan pemegang taruh (stakeholders seperti agensi pelaksana, kontraktor dan kumpulan sasar).