
LONDON: England mencatatkan kemenangan kedua pada aksi kelayakan Piala Dunia dalam tempoh empat hari apabila menewaskan Latvia 3-0 di Stadium Wembley, lapor PA Media/dpa.
Jaringan Reece James menerusi sepakan percuma meletakkan England di depan, dengan Harry Kane menjaringkan gol ke-71 buat negaranya manakala pemain gantian Eberechi Eze mencatat gol sulung di peringkat antarabangsa.
Albania bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada England dalam aksi pembukaan kelayakan apabila menewaskan Andorra 3-0 di laman sendiri dalam saingan Kumpulan K.
Rey Manaj menjaringkan dua gol dalam tempoh 20 minit pada separuh masa pertama sebelum Myrto Uzuni melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol pada masa tambahan.
Dalam Kumpulan G, Finland gagal mempertahankan kelebihan dua gol apabila terikat 2-2 dengan Lithuania.
Gol awal Kaan Kairinen dan Joel Pohjanpalo meletakkan Finland di depan, namun Armandas Kucys merapatkan kedudukan sebelum rehat dan Gvidas Gineitis menyamakan kedudukan pada minit ke-69.
Poland mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Malta 2-0 hasil dua jaringan Karol Swiderski, manakala Bosnia-Herzegovina mengatasi Cyprus 2-1 dalam aksi Kumpulan H.
Ermedin Demirovic membuka jaringan untuk tuan rumah sebelum Ioannis Pittas menyamakan kedudukan, namun Haris Hajradinovic memastikan kemenangan Bosnia-Herzegovina menerusi gol pada minit ke-56.
Sementara itu, dalam aksi kumpulan sama, Romania tidak menghadapi masalah apabila mencatat kemenangan besar 5-1 di tempat lawan ke atas San Marino, dengan Razvan Marin, Ianis Hagi dan Denis Alibec muncul sebagai antara penjaring gol. – Bernama – PA Media/dpa