TOKYO: Pemain tengah Liverpool yang ‘terpinggir’, Wataru Endo percaya dirinya masih mempunyai masa depan di Anfield.
Endo dikaitkan dengan pemindahan pada musim panas nanti dan pengendali baharu, Arne Slot hanya menurunkannya sekali – sebagai pemain gantian pada minit ke-90 – dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Kapten Jepun itu membuka tirai jaringan ketika membenam China 7-0 dalam saingan kelayakan Piala Dunia di Saitama sebelum berkata yang dia ‘tidak begitu bimbang’ dengan situasi di kelab disertainya.
“Apabila rehat antarabangsa berakhir, ada beberapa perlawanan dan saya akan memperoleh lebih peluang,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
“Kamu tidak boleh menggunakan 11 pemain apabila bermain banyak perlawanan. Saya pasti masa saya akan tiba.”
Endo memainkan peranan penting ketika Liverpool menewaskan Chelsea di pentas final Piala Carabao musim lalu bagi menghadiahkan trofi terakhir buat Jurgen Klopp.
“Keadaan fizikal saya bukannya satu masalah,” kata Endo. “Saya sudah berlatih dengan baik dan saya tidak bimbang mengenainya.”
Endo berkata, dia percaya yang dirinya mampu mengekalkan prestasi buat pasukan kebangsaannya meskipun kurang waktu permainan bersama Liverpool.
Jepun dijadual bertemu Bahrain pada aksi kelayakan Piala Dunia, Selasa ini.
“Pada usia saya ini, saya mempunyai pengalaman, jadi untuk mendapatkan jiwa dalam permainan itu bukanlah satu masalah,” katanya.
“Saya dapat merasai yang saya boleh beraksi dengan baik pada pusingan kelayakan Piala Dunia ini. Apa yang penting adalah berlatih dan mempersiapkan diri dengan sebaiknya.” – AFP
Gambar
Wataru Endo (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang China dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026. Foto: AFP