SIMANGGANG: Upacara menitik mata singa merupakan simbolik tradisi untuk membolehkan singa digunakan sebagai persembahan menghalau semangat jahat dan memberi keberkatan kepada keluarga masyarakat Cina yang mengundang tarian singa di kediaman mereka.
Bagi Tokong Fung Shan Gung dan Kong Teck Choon Ung, Pasar Sabu yang diketuai oleh Kapitan Chin Chong Miaw @ Ah Mau memaklumkan Tahun Baharu Cina 2025 merupakan tahun ular.
“Tahun yang dipercayai akan membawa tuah yang lebih baik dan kehidupan yang disegani.
“Terdapat empat singa baharu akan mula bekerja selama dua minggu sehingga ke hari terakhir dengan penutupan perarakan Cap Goh Mei dijangka pada 12 Februari nanti.
“Pasukan Tarian Singa Persatuan Hopoh juga tidak ketinggalan menampilkan dua singa baharu pada Tahun Baru Cina 2025 ini,” katanya.
Upacara menitik mata singa milik Tokong Fung Shan Gung dan Kong Teck Choon Ung, Pasar Sabu dan Persatuan Hopoh Bahagian Sri Aman telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Harden turut mengucapkan syabas dan tahniah diatas perkembangan tokong pasar Sabu dengan bertambahnya pengikut dari kalangan anak muda.
“Perkembangan positif ini menjadikan remaja yang menyertai kumpulan tarian Singa.
“Penglibatan anak muda dalam pasukan tarian singa sedikit sebanyak dapat menghindarkan diri mereka daripada terjerumus ke kegiatan tidak sihat kerana ajaran tokong Cina lebih memantapkan jati diri kerohanian sebagai amalan positif,” katanya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang telah bersetuju meluluskan peruntukkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada tokong pasar Sabu dan akan dimasukkan melalui akaun sebanyak 13 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Kampung Temudok.
Hadir pada upacara mengecat mata Singa iaitu Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Kang Tai Kong, Kapitan Kiew Si Ted, Kapitan Lai Joon Pin, Kapitan Goh Teo Soon, Kapitan Ling Siew Hung dan Kapitan Sim Haw Phian.
Oleh Adi Safarman