PERKHIDMATAN kecemasan berada di lokasi kemalangan selepas kemalangan ngeri yang membunuh
sekurang-kurangnya enam orang di Nieuw-Beijerland, Belanda. •Foto AFP
NIEUW-BEIJERLAND: Polis Belanda berkata, enam orang terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas sebuah trak terbabas dan melanggar kawasan barbeku penduduk setempat.
Polis menyoal siasat pemandu lori yang berdaftar di Sepanyol itu berikutan kemalangan pada petang Sabtu lalu di Nieuw-Beijerland, sebuah kampung 30 kilometer di selatan Rotterdam.
Mangsa maut ialah tiga wanita berusia 28, 32 dan 75 tahun serta tiga lelaki berusia 41, 50 dan 62 tahun, semuanya penduduk tempatan, kata polis. Seorang daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Pada awalnya, polis mengesahkan sekurang-kurangnya dua maut selepas kenderaan itu melanggar tempat barbeku yang sesak dengan orang ramai, menurut laporan berita Belanda dihoskan oleh sebuah kelab luncur ais.
“Kami kini mempunyai enam orang terbunuh dan tujuh cedera, seorang parah selepas kemalangan semalam. Kami masih menyiasat apa sebenarnya yang berlaku,” kata jurucakap polis, Mirjam Boers.
Saksi berkata, trak itu berhenti seketika di persimpangan-T di benteng Zuidzijdsedijk yang sempit, sebelum bergerak, menurut penyiar tempatan Rijnmond.
Gambar dari tempat kejadian yang diambil sejurus selepas kemalangan itu mengenal pasti trak itu milik syarikat El Mosca, yang berpangkalan di Sepanyol.
‘Hilang sekelip mata’
Mejar tempatan Charlie Aptroot berkata, kemalangan itu adalah tragedi pilu penduduk setempat.
“Enam penduduk hilang nyawa mereka. Salah seorang mangsa sarat mengandung,” katanya sambil menambah bahawa kanak-kanak adalah antara yang cedera.
Tiga daripada yang maut termasuk ibu, anak lelaki dan menantu perempuan yang hamil lapan bulan, berasal dari keluarga yang sama seperti yang dilaporkan Rijnmond yang memetik pengumuman gereja tempatan.
Penduduk meletakkan bunga di lokasi kemalangan pada Ahad lalu bagi memperingati mangsa kemalangan tragik itu dengan sebuah kereta polis berkawal di tempat kejadian.
“Apabila kami tiba di sini, ia benar-benar mengerikan. Terdapat ramai polis, ambulans, trak bomba, mereka semua berada di sini.
“Semua orang terjejas dan berkabung dengan penduduk di sini. Tiada apa-apa berlaku di sini, hampir tiada kecurian atau sesuatu yang dahsyat dan tiba-tiba perkara seperti ini berlaku.” ujar penduduk tempatan Bob van den Burg, 20, yang pergi ke tempat kejadian.
‘Kesedihan yang tidak dapat dibayangkan’
Jurucakap polis Boers mengesahkan pemandu berusia 46 tahun dari Sepanyol itu ditahan dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kemalangan itu.
“Dia ditahan kerana menyebabkan kemalangan maut dan kecederaan parah. Peranannya dalam kejadian itu sedang disiasat,” kata polis dalam satu kenyataan.
Penyiasat mengambil sampel darah untuk melihat sama ada dia mengambil sebarang ubat dan juga sedang memeriksa sama ada dia menggunakan telefon semasa kemalangan itu, kata pendakwa raya Belanda.
Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima berkata, mereka terkejut dengan tragedi itu.
“Kami terkejut dan terharu dengan kemalangan ngeri di Nieuw-Beijerland malam tadi yang menyebabkan begitu ramai orang terbunuh. Kesedihan yang tidak dapat dibayangkan dalam komuniti yang rapat ini,” kata mereka dalam satu mesej rasmi.
Perdana Menteri Rutte juga menyampaikan ucapan takziah.
“Berita yang mengerikan… doa saya bersama mangsa dan saudara mara kemalangan yang dahsyat ini. Saya berharap mereka diberi kekuatan,” kata Rutte di Twitter. -AFP