
ANKARA: Enam maut manakala lapan lagi cedera dalam beberapa insiden tembakan yang dikaitkan dengan pertikaian melibatkan sebuah restoran di wilayah Mersin, selatan Turkiye pada Isnin, menurut Anadolu Ajansi, lapor Xinhua.
Keganasan itu bermula di Camliyayla apabila seorang suspek bersenjatakan senapang patah jenis pam didakwa menembak mati bekas isterinya di sebuah jalan, menurut laporan itu.
Suspek kemudian memandu ke sebuah restoran di daerah Tarsus dan melepaskan tembakan dari dalam keretanya, mengorbankan pemilik restoran serta seorang pekerja.
Anadolu Ajansi melaporkan bahawa suspek sebelum ini mempunyai pertikaian dengan pemilik restoran itu.
Seorang penggembala yang berada berhampiran turut terkena serpihan peluru sebelum meninggal dunia di hospital.
Suspek kemudian membunuh dua lagi mangsa di kawasan kejiranan lain, menurut Anadolu Ajansi.
Pasukan keselamatan melancarkan operasi memburu suspek melalui udara dan darat dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di Mersin serta wilayah jiran Adana, selain memantau kawasan berkenaan menggunakan helikopter dan dron. – Bernama-Xinhua