ALOR GAJAH: Enam ekor lembu mati dilanggar sebuah treler di Jalan Cherana Putih di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah SUPT Ashari Abu Samah berkata kejadian berlaku kira-kira 5.10 pagi ketika pemandu berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Taman Bukit Tampin, Negeri Sembilan.
“Ketika tiba di lokasi, treler dipandu lelaki itu melanggar sekumpulan enam ekor lembu yang melintas dari arah sebelah kiri jalan menyebabkan lembu terbabit mati. Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah ke lokasi dan mengalihkan lembu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ashari berkata, siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan tiada saksi bebas yang tampil membuat keterangan kepada pihak polis.
Pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – Bernama