Enam ditahan dalam Op Pintas, disyaki terbabit pemerdagangan orang dan kesalahan Imigresen

Facebook
WhatsApp
SUSPEK ditahan untuk siasatan.

BAU: Polis Bau menahan enam individu, termasuk empat warga Indonesia, dalam Operasi Pintas (Op Pintas) khas yang menyasarkan kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan imigresen di KM6, Jalan Bau-Serikin.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan empat warga Indonesia.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira 10.10 pagi ketika menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 34 tahun itu dipercayai bertindak sebagai pemandu dan menerima bayaran untuk membawa warga asing tanpa dokumen sah memasuki Sarawak sebelum menghantar mereka ke beberapa lokasi sekitar Kuching dan Sematan.

SUSPEK ditahan ketika menaiki sebuah Perodua Alza dalam operasi khas yang menyasarkan kegiatan pemerdagangan orang dan kemasukan warga asing tanpa dokumen sah.

“Siasatan turut mendapati keempat-empat warga Indonesia terbabit dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah dengan bantuan individu tertentu yang mengatur perjalanan mereka dari Indonesia ke Sarawak.

“Mereka dipercayai memasuki negeri ini bagi mendapatkan pekerjaan tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kenderaan, beberapa telefon bimbit serta sebuah pasport Indonesia bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

KESEMUA suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki pemerdagangan orang dan kesalahan imigresen.

Mohd Haide berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sindiket yang terlibat, termasuk individu yang dipercayai mengatur kemasukan secara haram warga asing ke negara ini.

Beliau menegaskan Polis Daerah Bau akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang serta kemasukan pendatang tanpa dokumen sah.

Katanya, orang ramai turut digesa supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah seumpama itu bagi membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan awam dan kedaulatan negara.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang cuba melanggar undang-undang negara,” katanya.

Oleh Connie Chieng