BINTANGOR, 11 Oktober: Seramai enam daripada 11 individu yang hadir ke Program Derma Darah anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor pagi tadi layak menderma darah.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membantu memenuhi keperluan bekalan darah.
Menurutnya, program yang bermula pada 8.00 pagi di BBP Bintangor itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada pesakit yang memerlukan pemindahan darah.
“Daripada 11 individu yang hadir, enam didapati layak menderma darah selepas menjalani penilaian kelayakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kerjasama dengan Unit Tabung Darah Hospital Sarikei membolehkan urusan pendermaan darah dikendalikan oleh petugas kesihatan yang terlibat.



ANTARA individu yang hadir menderma darah. Foto BBP Bintangor
Katanya, program seumpama itu bukan sahaja membantu menyokong keperluan bekalan darah, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara sukarela.
“Setiap sumbangan darah amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan rawatan, khususnya mereka yang memerlukan pemindahan darah.
“Penyertaan masyarakat dalam aktiviti seperti ini juga dapat memupuk sikap prihatin dan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.
Mahmudin berharap lebih ramai anggota masyarakat tampil menyertai kempen derma darah pada masa akan datang bagi membantu memastikan bekalan darah mencukupi untuk keperluan pesakit.
Oleh Earl Anek




