BINTULU: Empat rumah panjang di kawasan Sungai Segan dan Jepak di sini dilaporkan banjir berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat, namun keadaan masih terkawal.
Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Bintulu, Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik berkata, paras air di Rumah Alam Mandi mencecah 600 milimeter (mm) sejak jam 6 petang kelmarin (23 Jan) manakala di Rumah Nyaing Unol, paras air mencapai 850mm, dan di Rumah Jeffry Giri pula 750mm.
“Walaupun keadaan terkawal, jalan masuk ke rumah panjang ini telah dinaiki air, menyukarkan akses penduduk.
“Semasa pemantauan, anggota APM juga menasihati tuai rumah agar memantau situasi semasa dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena air pasang ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam (24 Jan).
Dalam kenyataan lain, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pemantauan di Rumah Nyaing pagi semalam (24 Jan) mendapati paras air meningkat hingga 1.5 meter, hampir mencecah lantai rumah panjang tersebut.
“Rumah panjang ini dihuni oleh 71 penduduk daripada 15 ketua isi rumah, dan laluan jalan raya ke kawasan ini terputus akibat banjir,” jelasnya.
Selain itu, Rumah Awang Inban turut terjejas dengan paras air mencapai 1.5 meter, menyebabkan 14 ketua isi rumah di kawasan tersebut terputus hubungan jalan raya.