MEMBERSIH… Seorang pekerja membuat kerja pembersihan akibat tanah runtuh susulan Taufan Nanmadol di Mimata, Wilayah Miyazaki.
TOKYO: Dua orang disahkan maut dan dua lagi ditemui tanpa tanda vital selepas Taufan Nanmadol melanda Jepun, kata jurucakap kerajaan pada semalam.
Ribut itu mendarat di bandar barat daya Kagoshima pada malam Ahad, dan menyebabkan hujan lebat merentasi Wilayah Kyushu sebelum bergerak di sepanjang pantai barat.
Menjelang pagi semalam, ia dianggap sebagai siklon ekstratropika apabila ia menyeberang ke pantai timur laut dan menuju ke laut.
Ribut itu menumbangkan pokok, memecahkan tingkap dan menurukan hujan dalam tempoh 24 jam di bahagian wilayah Miyazaki, di mana dua kematian disahkan.
Jurucakap kerajaan Hirozaku Matsuno berkata dua orang lagi ditemui tanpa tanda vital, istilah yang sering digunakan di Jepun sebelum kematian disahkan secara rasmi oleh koroner.
Beliau berkata pihak berkuasa juga sedang mencari seorang yang dilaporkan hilang.
Sekitar 114 orang cedera, 14 daripadanya parah.
Menjelang awal semalam, sekitar 140,000 rumah masih terputus bekalan elektrik di seluruh negara, kebanyakannya di Kyushu.
Jepun kini berada dalam musim taufan dan menghadapi sekitar 20 ribut seperti itu setahun.
Para saintis berkata perubahan iklim meningkatkan tahap ribut dan menyebabkan cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan banjir kilat menjadi lebih kerap dan sengit.-AFP