PETRA JAYA: Sebanyak empat loji bekalan air di Sarawak kini terpaksa menghentikan operasi susulan keadaan kering dan panas, manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak terus mengerahkan lori tangki bagi membantu kawasan yang terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, empat loji berkenaan ialah Spaoh, Lingga, Simunjan dan Lichok, dengan kawasan terbabit turut diberi perhatian dalam usaha menangani isu bekalan air susulan cuaca kering berpanjangan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berkata, JBALB ketika ini mempunyai 98 lori tangki untuk melaksanakan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas.
“JBALB terus mengerahkan lori tangki. Mereka mempunyai 98 lori tangki. Dari 18 hingga 29 Ogos 2026, sebanyak 680 perjalanan lori tangki telah dibuat bagi menghantar lebih 3.3 juta liter air ke lima bahagian iaitu Betong, Samarahan, Limbang, Sri Aman dan Miri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SDMC berkaitan jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri di sini, hari ini.
Menurut Uggah, kerajaan negeri turut mengambil langkah memperkukuh bekalan air dengan JBALB membentangkan mekanisme bagi meningkatkan keupayaan bekalan, selain memerlukan peruntukan tambahan untuk membeli peralatan berkaitan.

Beliau berkata, keadaan kering dan panas ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada paras air empangan, malah turut menjejaskan takungan air di beberapa kawasan di Sarawak.
“Tak adil untuk sesiapa mengatakan kita tidak melakukan apa-apa. Tidak adil untuk menyalahkan JBALB tidur. JBALB tidak tidur. Kerajaan GPS tidak tidur. Kita memantau keadaan dan mengambil tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah berkata operasi pembenihan awan turut dirancang bagi membantu meningkatkan sumber air, dengan Jabatan Meteorologi Malaysia menganggarkan keadaan sesuai untuk operasi berkenaan antara 3 hingga 5 September ini.
Katanya, operasi pembenihan awan memerlukan keadaan awan yang sesuai dan tidak boleh dilaksanakan sekiranya tiada awan yang mencukupi.
Beliau berkata operasi berkenaan akan memberi keutamaan kepada Empangan Bakun sebagai sumber utama penjanaan elektrik, sebelum tumpuan diberikan kepada takungan air yang parasnya semakin rendah.
“Keutamaan ialah Empangan Bakun kerana itu sumber elektrik kita. Selepas itu kita pergi kepada takungan air yang parasnya sudah sangat rendah, dan kemudian kita bergerak ke tempat lain,” katanya.
Uggah berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan bekalan air dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keperluan rakyat di kawasan terjejas dapat dipenuhi sepanjang tempoh cuaca kering dan panas.




