SHEILA ZAIDI
KUCHNG: Sarawak semalam mencatatkan empat kes positif Covid-19 yang baharu tetapi berjaya mencatatkan kes sembuh dan discaj dari hospital sebanyak 27 kes.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dengan jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 459 kes, manakala jumlah sembuh adalah 131 kes setakat ini.
“Ketika ini terdapat 312 kes yang sedang dirawat di hospital dan daripada jumlah itu tujuh orang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima kes memerlukan bantuan penafasan.
“Bilangan orang disyaki (PUI) semalam bagaimanapun meningkat iaitu sebanyak 257 kes berbanding 155 kes pada Rabu disebabkan Pasukan Bertindak telah mempertingkatkan pengesanan kontak di Kuching,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.
Menurut Uggah, terdapat pertambahan dua daerah baharu yang dikategori zon hijau yang mana sebelum ini adalah zon kuning iaitu Sibu dan Sarikei, menjadikan jumlah zon hijau di Sarawak ialah 28 setakat ini.
Kata Uggah, lima lagi rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah atau Labuan telah dimasukkan ke pusat kuarantin sebagai orang dalam pengawasan (PUS) menjadikan jumlah keseluruhan ialah 1,250 orang.
Tambahnya, 1,250 PUS ini dikuarantin di 17 hotel di seluruh Sarawak dan 395 daripadanya telah melengkapkan tempoh kuarantin dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Hadir sama pada sidang media semalam ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.