Empat ditahan dalam Op Pencegahan Jenayah, Op Waran Tangkap di Bau

Facebook
WhatsApp
EMPAT lelaki ditahan kerana dadah.

Op Pencegahan Jenaya

BAU: Empat lelaki, termasuk seorang pelajar berusia 16 tahun, ditahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Op Waran Tangkap yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di Kampung Pangkalan, Kampung Opar dan Kampung Skibang, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 31 tahun.

Beliau berkata, suspek berusia 31 tahun akan direman pada hari ini bagi membantu siasatan.

“Seorang lagi suspek akan didakwa bagi kes terdahulu di Mahkamah Majistret Bau, manakala seorang lagi akan didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Kuching.

“Suspek berusia 16 tahun pula telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuching kerana masih di bawah umur,” katanya.

Mohd Haide berkata, suspek berusia 31 tahun didapati memiliki satu paket plastik lutsinar mengandungi 0.71 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM70.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya,” katanya.

Operasi dikenali sebagai Op Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Op Waran Tangkap BSJND Bau Bil. 126 itu dijalankan dari kira-kira 7.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine sebelum ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Haide menegaskan polis akan terus mempergiatkan penguatkuasaan antidadah bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Daerah Bau.

Oleh Connie Chieng