
DUBAI: Emirates akan memperkenalkan beberapa pesawat Boeing 777 dan Airbus A380 dengan kabin yang dinaik taraf ke lapan lagi bandar raya, termasuk Kuala Lumpur, dalam rangkaian perkhidmatannya dalam beberapa bulan akan datang, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Syarikat penerbangan itu akan menggerakkan pesawat A380 yang diperbaharui ke Bangkok, Hong Kong, Nice dan Perth, serta Boeing 777 yang dinaik taraf ke Madrid, Kuala Lumpur, Phuket dan Frankfurt, selain satu lagi perkhidmatan Boeing 777 yang diubah suai ke Dublin.
Program naik taraf pesawat Emirates terus berkembang dengan pantas, dengan pasukan Pusat Kejuruteraan Emirates bekerja tanpa henti untuk melengkapkan pengubahsuaian sepenuhnya pada kadar purata satu pesawat berbadan lebar setiap tiga minggu.
Emirates juga bakal menerima pesawat A350 jarak jauh pertama akhir tahun ini, yang dijadual membuat penerbangan sulung ke Australia dengan memperkenalkan laluan ke Adelaide bermula 1 Disember.
Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Emirates Adnan Kazim, berkata pelancaran terbaharu pesawat Airbus A380 dan Boeing 777 yang diperbaharui, bersama pesawat A350 baharu, menawarkan lebih banyak peluang kepada pelanggan di lebih 70 bandar raya dinamik dan ekonomi yang sedang berkembang untuk menikmati pengalaman premium terkini di dalam pesawat berkenaan, disertai perkhidmatan bertaraf anugerah.
Usaha berganda dalam program naik taraf ini bermakna menjelang akhir tahun ini, Emirates akan menempatkan dirinya sebagai salah satu peneraju industri dalam menawarkan tempat duduk Ekonomi Premium.
“Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami akan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju industri dalam pengenalan Ekonomi Premium.
“Penambahan penawaran Ekonomi Premium kami memperkukuhkan daya saing dan menjadi perbezaan strategik dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang semakin mencari pengalaman perjalanan premium.”
“Penggunaan pesawat A350 jarak jauh pertama kami ke Adelaide merupakan perkembangan menarik dan menggariskan kepentingan Australia sebagai hab utama ke timur dalam rangkaian kami.
“Ia juga menunjukkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman penerbangan jarak jauh terbaik menerusi pesawat generasi terkini,” kata beliau.
Menjelang akhir 2025, Emirates dijangka menerima lima pesawat A350 yang diperuntukkan untuk laluan jarak jauh, menampilkan 32 tempat duduk Kelas Ekonomi boleh baring penuh dalam konfigurasi 1-2-1, 28 tempat duduk Ekonomi Premium dan 238 tempat duduk Kelas Ekonomi yang luas.
Sejak program naik taraf bermula pada November 2022, Emirates menaik taraf bahagian dalaman 51 pesawat Airbus A380 dan Boeing 777, yang kini beroperasi ke 38 destinasi. – Bernama – WAM