KETUA jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan menarik rasa lega selepas misi mencatat kemenangan dalam aksi penting tercapai hasil komitmen tinggi yang dipersembahkan pemainnya ketika menewaskan PDRM FC 3-0, malam semalam.
Jurulatih berpengalaman itu berkata kemenangan itu juga membantu pasukan kendaliannya berada dalam keadaan selesa mengungguli takhta Liga Premier selepas pencabar terdekat mereka iaitu Negeri Sembilan FC yang tumpas 1-2 di tangan Kelantan FC pada aksi di Kota Bahru petang kelmarin.
“Saya tidak menyangka dengan kemenangan besar yang diperoleh pasukan kita malam ini (malam semalam), disebabkan PDRM sedang berada pada prestasi yang konsisten sejak akhir-akhir ini.
“Saya gembira dengan kesungguhan pemain yang tidak kenal erti berputus asa untuk mengekalkan kemenangan buat pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Elavarasan berkata pemainnya berjaya mengekang kelebihan dimiliki PDRM yang mempunyai penyerang import berkualiti mereka, Bruno Suzuki.
“Pasukan kita juga bernasib baik apabila seorang lagi pemain import utama PDRM, Lazarus Kaimbi yang sedang mengalami kecederaan, dan hanya mengharapkan Bruno di bahagian serangan, itu merupakan ‘advantage’ pasukan kita dengan berjaya mengurangkan ‘strenght’ pasukan lawan di bahagian serangan,” ujarnya.
Beliau mahu para pemain Sarawak United untuk terus kekal konsisten dengsn kemenangan bagi menempuhi baki tiga perlawanan seterusnya untuk menempah tiket ke pentas Liga Super musim hadapan sekaligus menjuarai Liga Premier musim ini.
“Justeru, kita kena konsisten pada baki tiga perlawanan selepas ini, kita kena usaha lebih keras lagi untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali PDRM FC, Wan Rohaini Wan Ismail berkata biarpun tewas kepada pasukan Sarawak United, namum beliau masih lagi berpuas hati dengan prestasi pemain dan menerima dengan hati yang terbuka kekalahan tersebut.
“Saya terima kekalahan dengan hati yang terbuka. Ternyata pengalaman membezakan kedua-dua pasukan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan. Pujian harus diberikan kepada anak buah saya..This is football,” ujarnya.
Menurutnya, semua pemain menunjukkan semangat melawan yang begitu tinggi pada perlawanan itu untuk biarpun ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.
“Semangat juang pemain begitu tinggi dalam perlawanan itu dan ia membanggakan saya walaupun kami ketinggalan 0-2 namun pemain tidak panik sebaliknya berusaha bangkit dengan mengawal perlawanan dan cuba memburu gol,” ujarnya.
Beliau menambah, persembahan dipamerkan itu nyata menguatkan lagi mental pemain untuk berdepan Kuching City FC pada 4 September nanti, dan sememangnya sasaran utama pasti mahu tiga mata dalam perlawanan itu.
Dengan kemenangan itu Sarawak United FC terus gah berada di kedudukan teratas Liga Premier dengan mengumpul sebanyak 37 mata, manakala PDRM FC pula kekal berada ditangga kelima dengan mengumpul sebanyak 25 mata.