BINTULU: Elak perpecahan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan jangan amalkan sikap berpuak-puak, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Presiden PBB itu berkata sikap membentuk puak atau kumpulan tertentu boleh merosakkan keharmonian dalam parti.
“Jangan kita berpuak-puak dan jangan kita ada ‘team’ ini atau ‘team’ itu kerana ia boleh merosakkan parti.
“Sebab itu, kita perlu bersatu padu dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan N67 Jepak di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata semangat kekeluargaan dan disiplin dalam parti adalah asas kekuatan perjuangan politik.
Katanya, dalam setiap pemilihan parti, semangat kekeluargaan perlu menjadi keutamaan dengan matlamat utama untuk memperkukuh parti.
“Selepas pemilihan, kita perlu ‘bercantum’ semula kerana, dalam parti, prinsipnya adalah kita satu keluarga.
“Kekuatan parti kita bergantung kepada kerjasama, persefahaman, dan kesetiaan kepada perjuangan parti,” katanya.
Awang Tengah turut menzahirkan rasa syukur kerana kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh PBB kini membolehkan fokus diberikan kepada usaha melaksanakan pembangunan demi rakyat.
“Dengan GPS sebagai tonggak kekuatan, kita kini dapat memberi tumpuan penuh kepada usaha pembangunan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata PBB kekal sebagai tunjang utama dalam GPS yang memainkan peranan signifikan dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan di Sarawak.