SIBU: Pemanca James Semilan Guang menasihatkan masyarakat Dayak yang akan menyambut Gawai Dayak supaya lebih berhati-hati dan menjaga kebersihan diri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Tegasnya, amat penting bagi masyarakat Dayak terutama di rumah panjang sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Tahun ini, Gawai Dayak akan disambut dalam suasana yang berbeza kerana Covid-19. Kita semua sedia maklum Covid-19 ini amat berbahaya dan boleh membawa maut.
“Oleh itu, kita harus berhati-hati dengan menjaga kebersihan diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan,” jelasnya.
James memberitahu, kebiasaan semasa Gawai penduduk rumah panjang akan berkumpul beramai-ramai di ruai rumah panjang atau semasa melakukan upacara miring.
Namun untuk tahun ini katanya, penduduk dilarang berkumpul beramai-ramai atau lebih daripada 20 orang pada satu-satu masa.
“Kerajaan sebelum ini tidak melarang upacara miring dilakukan namun kita harus sedar agar tidak melakukannya beramai-ramai.
“Mungkin kita boleh menjalankan upacara miring ini secara berkumpulan tidak lebih 20 orang bagi satu pintu bilik,” ujarnya sambil menambah jarak sosial juga harus dijaga.
Disamping itu, James juga mengingatkan agar amalan berkongsi satu gelas ketika minum minuman keras dihentikan.
Ini kerana katanya, amalan itu tidak sihat dan berbahaya kepada kesihatan lebih-lebih lagi dengan penularannya wabak Covid-19.
“Jangan kita amalkan lagi amalan berkongsi gelas ini ketika minum untuk kebaikan bersama,” ujar beliau sambil menasihati penduduk rumah panjang agar kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan persekitaran rumah panjang.
Bagi masyarakat Dayak yang berada di bandar, James menasihati mereka agar tidak pulang ke rumah panjang bagi menyambut Gawai Dayak.
“Seboleh-bolehnya mereka yang tinggal atau bekerja di bandar jangan pulang ke rumah panjang. Kita boleh menyambut Gawai bersama keluarga di rumah masing-masing.
“Pada masa sama, mereka dari rumah panjang juga jangan ngabang atau berkunjung ke rumah rakan-rakan yang berada di bandar.
“Sama-samalah kita menjaga antara satu sama lain,” ujarnya sambil mengucapkan selamat Gawai Dayak kepada semua.