Screenshot
AGENSI Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) secara rasmi mengisytiharkan pada 11 Jun 2026 bahawa fenomena El Niño 2026/27 telah bermula selepas Indeks Niño 3.4, iaitu petunjuk utama yang digunakan untuk memantau keadaan El Niño dan La Niña, meningkat kepada +0.7°C melebihi purata klimatologi jangka panjang.
Indeks Niño 3.4 dikira berdasarkan purata suhu permukaan laut di bahagian tengah-timur Lautan Pasifik tropika (5°S–5°N) dan dibandingkan dengan keadaan normal jangka panjang.
Mengikut definisi yang diterima secara meluas, keadaan El Niño berlaku apabila anomali suhu permukaan laut di kawasan ini melebihi +0.5°C, manakala keadaan La Niña berlaku apabila suhu menurun sekurang-kurangnya 0.5°C di bawah purata.
El Niño dan La Niña merupakan manifestasi Ayunan Selatan El Niño (ENSO), iaitu sistem lautan–atmosfera yang berinteraksi dan beroperasi merentasi Lautan Pasifik tropika.
ENSO lazimnya berayun dalam tempoh antara dua hingga lima tahun dan merupakan salah satu fenomena iklim semulajadi yang paling berpengaruh, yang mempengaruhi corak cuaca dan iklim di seluruh dunia.

Artikel ini merupakan siri ketiga saya yang membincangkan El Niño 2026/27. Penyelidikan saya telah lama berkait rapat dengan fenomena ini, bukan sahaja dalam memahami dinamik ENSO itu sendiri, tetapi juga dalam mengkaji bagaimana interaksi antara lautan dan atmosfera mempengaruhi sistem iklim global.
Kajian saya mengenai El Niño bermula semasa pengajian doktor falsafah di University of British Columbia, Kanada, antara 1993 hingga 1997, yang memberi tumpuan kepada ramalan El Niño.
Seterusnya, sepanjang lebih dua dekad di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya bersama kumpulan penyelidik telah menjalankan pelbagai kajian untuk memahami tele hubungan ENSO dan bagaimana fenomena ini mempengaruhi cuaca dan iklim di Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai ramalan dan penilaian telah dikeluarkan mengenai kemungkinan perkembangan El Niño 2026/27. Seperti yang dijangkakan, fenomena ini kini telah diisytiharkan bermula secara rasmi.
Ramalan semasa menunjukkan bahawa El Niño akan terus menguat sepanjang 2026, mencapai kemuncaknya menjelang penghujung tahun atau awal 2027 sebelum beransur-ansur melemah. Keadaan di Lautan Pasifik dijangka kembali neutral sekitar April atau Mei 2027.
Perkara yang paling membimbangkan ialah kekuatan fenomena ini yang diramalkan. Beberapa pusat ramalan iklim antarabangsa menunjukkan bahawa El Niño 2026/27 berpotensi mencapai kategori sangat kuat (very strong) atau bahkan ekstrem, setanding atau mungkin melebihi peristiwa El Niño besar pada 1997/98 dan 2015/16 yang memberi impak besar di peringkat global.
Pusat Iklim APEC (APCC) di Busan, Korea Selatan mengunjurkan kebarangkalian melebihi 90 peratus bahawa fenomena ini akan mencapai sekurang-kurangnya kategori El Niño kuat.
Sementara itu, Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat (CPC) menganggarkan kebarangkalian melebihi 60 peratus bahawa El Niño 2026/27 akan mencapai kategori sangat kuat.
Malah, beberapa media antarabangsa telah mula merujuk fenomena ini sebagai “Super El Niño”.
Lebih membimbangkan lagi ialah jangkaan bahawa El Niño ini mungkin berlaku serentak dengan Indian Ocean Dipole (IOD) positif. Gabungan kedua-dua fenomena iklim ini lazimnya meningkatkan risiko cuaca ekstrem dan bencana berkaitan iklim di banyak bahagian dunia, khususnya di Asia Tenggara.
Mengapa El Niño 2026/27 dijangka sangat signifikan?
Apabila El Niño berlaku, corak cuaca dan iklim global menjadi terganggu. Sesetengah kawasan mengalami kemarau yang teruk, manakala kawasan lain berdepan hujan berlebihan dan banjir besar.
Banyak kawasan juga mengalami suhu yang lebih tinggi daripada biasa, gelombang haba lebih kerap, serta peningkatan aktiviti kebakaran hutan.
Dari perspektif suhu global, terdapat kebarangkalian yang sangat tinggi bahawa sama ada 2026 atau 2027 boleh menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan.
Sebelumini, 2023 dan 2024 masing-masing merupakan tahun kedua dan terpanas dalam sejarah moden, sebahagiannya disebabkan oleh pengaruh El Niño 2023/24 yang dikategorikan sebagai kuat. Bagaimanapun, El Niño 2026/27 dijangka lebih kuat daripada peristiwa tersebut.
Bagi Asia Tenggara, khususnya Malaysia dan Indonesia, El Niño lazimnya dikaitkan dengan kemarau berpanjangan, cuaca yang lebih panas daripada biasa, peningkatan risiko gelombang haba, kebakaran hutan dan tanah gambut, serta episod jerebu rentas sempadan yang teruk.
El Niño juga boleh menyebabkan suhu permukaan laut yang lebih tinggi dan paras laut lebih rendah di perairan Asia Tenggara, yang seterusnya boleh mencetuskan kejadian fenomena pemutihan karang.
Kesan-kesan ini memberi impak kepada pelbagai sektor termasuk alam sekitar, sumber air, keselamatan makanan, pertanian, penurunan hasil sawit, kesihatan awam, bekalan tenaga, pelancongan dan ekonomi secara keseluruhannya.
Risiko menjadi lebih tinggi sekiranya El Niño berlaku serentak dengan IOD positif. Pengalaman daripada episod El Niño kuat pada 1997/98 dan 2015/16 menunjukkan bahawa gabungan kedua-dua fenomena ini boleh menghasilkan keadaan kemarau yang lebih teruk serta kebakaran hutan yang meluas di Indonesia, khususnya di Sumatera dan Kalimantan.
Berdasarkan pemahaman saintifik semasa, risiko kemarau, cuaca panas dan kebakaran hutan di Malaysia lazimnya meningkat antara Jun hingga September semasa Monsun Barat Daya.
Keadaan ini boleh berterusan sehingga tahun berikutnya, khususnya antara Januari dan Mac, terutamanya di Sabah dan utara Sarawak. Pada masa sama, Monsun Timur Laut yang biasanya membawa hujan yang banyak ke Malaysia mungkin menjadi lebih lemah semasa peristiwa El Niño yang ekstrem.
Di Indonesia, khususnya di Sumatera dan Kalimantan, keadaan yang lebih kering daripada biasa dijangka berlaku antara Jun hingga Oktober. Tempoh ini merupakan musim paling kritikal bagi kebakaran hutan dan tanah gambut.
Sekiranya kebakaran besar berlaku, jerebu rentas sempadan boleh dibawa oleh angin barat daya ke Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei Darussalam dan Singapura, sekali gus menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam secara ketara.
Di Malaysia, kawasan tanah gambut yang luas di Sarawak, Sabah dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia juga berdepan risiko kebakaran yang lebih tinggi semasa tempoh kering yang berpanjangan, sekali gus menjana keadaan cuaca berjerbu.
Hakikatnya, tiada teknologi yang mampu menghalang El Niño kerana ia merupakan komponen semula jadi sistem iklim bumi. Tambahan pula, semakin banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa pemanasan global mungkin meningkatkan kekerapan dan intensiti peristiwa El Niño yang ekstrem pada masa hadapan.
Bagaimanapun, kemajuan dalam sains iklim kini membolehkan fenomena ini diramalkan beberapa bulan lebih awal. Ramalan awal memberikan peluang kepada pihak berkuasa, agensi berkaitan, sektor swasta dan orang ramai untuk membuat persediaan.
Langkah seperti pengurusan sumber air yang lebih baik, peningkatan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran hutan, pemantauan kesihatan awam, perancangan pertanian dan strategi pengurangan risiko bencana boleh dilaksanakan lebih awal bagi mengurangkan kesan yang berpotensi berlaku.
Oleh itu, El Niño 2026/27 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai satu lagi fenomena iklim. Sebaliknya, ia perlu dianggap sebagai isyarat amaran awal kepada semua sektor masyarakat untuk memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan daya tahan terhadap bencana berkaitan iklim.
Melalui perancangan yang teliti, penggunaan maklumat saintifik yang berkesan dan tindakan proaktif, kesan fenomena ini dapat dikurangkan dengan ketara walaupun tidak dapat dielakkan sepenuhnya.
Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Antara-Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).