Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Karya Laura Dudum ‘curi’ perhatian  Tengku Hassanal
  • TEMPATAN

Eksklusif: Karya Laura Dudum ‘curi’ perhatian  Tengku Hassanal

Utusan Sarawak 2 years ago
MENGAGUMKAN… Potret Tengku Hassanal yang telah siap dilukis oleh Laura Dudum.

KUCHING: ’Bagaikan menang jackpot’.

Itulah gambaran kegembiraan yang terpahat di hati seorang pelukis apabila potret dihasilkannya mendapat reaksi positif daripada tuan empunya badan.

Apatah lagi individu tersebut ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut tersentuh dengan kemesraan dipamerkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda baginda pada Kembara Kenali Borneo September lalu.

Laura Dudum, 40, berasal dari Saratok berikutan itu mengambil peluang untuk ‘mengabadikan’ kenangan manis itu dengan melukis potret Tengku Hassanal.

KATA SEMANGAT… Tangkapan skrin Tengku Hassanal yang berkongsi hantaran Laura Dudum menunjukkan lukisan potret wajah baginda.

Siapa yang menyangka hasil seni dihasilkan wanita cekal itu mendapat perhatian Tengku Hassanal dalam media sosial Instagram (Ig).

Menurut Laura, Tengku Hassanal meninggalkan tanda suka, komen positif dan turut dikongsikan kembali oleh baginda dalam akaun Ig baginda yang memaparkan gambar potret Tengku Hassanal yang telah siap dengan sempurna.

“Selain meninggalkan tanda suka, Tengku (Hassanal) turut meninggalkan komen seperti ‘Terima kasih kak, saya suka sangat’.

“Tengku juga berkongsi kembali (repost) hantaran saya dengan meletakkan kapsyen ‘So nice, terima kasih banyak!’ dan ‘you are very talented, please don’t give up. God bless you, (anda sungguh berbakat, tolong jangan berputus asa. Tuhan memberkati,” kongsinya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Keprihatinan baginda yang dizahirkan menerusi kapsyen yang dikongsikan itu meninggalkan dampak di hati wanita kelainan upaya menghidap Cerebral Palsy sejak dilahirkan itu sekali gus menyuntik semangat beliau untuk terus berkarya.

Tambah Laura lagi, lukisan yang bertajuk ‘Kembara Kenali Borneo’ itu dihasilkan menggunakan grafit dan arang serta ‘pure spirit drafting’ dan terinspirasi daripada kemesraan yang dipamerkan Tengku Hassanal semasa kembara itu. 

PENUH MAKNA… Tangkapan skrin Tengku Hassanal meninggalkan komen positif pada hantaran dan video di Instagram Laura Dudum yang melukis potret baginda.

‘Bagai pelangi selepas hujan’, kehidupan Laura bertukar 180 darjah setelah kehilangan kerja sebagai jurusolek sambilan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia namun, ia juga memberi hikmah apabila beliau mula memutuskan untuk menjadi pelukis sepenuh masa bagi meraih pendapatan bulanan.

“Saya memang minat melukis sejak berumur lima tahun dan setelah dewasa, saya mengasah bakat dari Tuhan ini (melukis) dengan mempelajari pelbagai teknik menerusi Youtube dan semua bermula apabila saya melukis potret wajah saya sendiri.

“Setelah siap, saya memuat naik gambar itu ke Facebook dan saya juga tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sehingga ada yang ingin membuat tempahan lukisan.

“Hingga ke hari ini, sudah tiga tahun saya menjana pendapatan dengan melukis. Semua lukisan dihasilkan di dalam bilik tidur saya yang juga dianggap ‘studio kreatif’ saya kerana pergerakan saya agak terhad akibat keadaan saya selain mengutamakan keselesaan ketika melukis,” cerita anak ketiga dari lima orang adik beradik itu. 

Laura yang dikenali penulis menerusi Facebook dengan nama Ziby Zidylora turut menerima tempahan lukisan dari orang ramai itu menjadikan seorang pakar motivasi (motivator), penulis terkenal dunia, Nick Vujicic sebagai idola dan inspirasi.

Oleh Rynna Sha’erra

Continue Reading

Previous: Hasil kenaikan cukai perkhidmatan akan dikembalikan kepada rakyat – Ahmad Maslan
Next: Teknologi terkini dorong generasi muda ceburi pertanian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.