Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Serlah kemeriahan Aidilfitri hidang puluhan kek lapis
  • TEMPATAN

Eksklusif: Serlah kemeriahan Aidilfitri hidang puluhan kek lapis

Utusan Sarawak 2 months ago
ANEKA PILIHAN… Pelbagai kek lapis yang dihidang di kediaman Wan Salem Wan Zain dan Salmah Yak serta kediaman Nazila Talip di Kampung Kelka Tengah.

SIMUNJAN: Setiap kali Syawal menjelang, rumah Ketua Kampung Kelka Tengah, Wan Salem Wan Zain, 65, dan isterinya, Salmah Yak, 62, dipenuhi dengan aroma kek lapis yang harum, menandakan kemeriahan Aidilfitri sudah pun tiba. 

Bau kek-kek lapis buatan sendiri yang harum di udara, menggamit selera sesiapa sahaja yang melangkah ke rumah mereka semasa menyambut hari raya Aidilfitri.

Menurut Salmah Yak, tahun ini mereka menyediakan 25 jenis kek lapis untuk dihidangkan kepada para tetamu yang berkunjung ke rumah mereka.

ISTIMEWA… Wan Salem Wan Zain dan isterinya, Salmah Yak menunjukkan kek lapis Ati Parik, antara kek paling istimewa yang dihidangkan di kediaman mereka.

“Kos pembuatan 25 jenis kek lapis ini dianggarkan mencecah lebih RM2,000 untuk bahan pembuatannya.

“Ia bukan sekadar untuk meraikan keluarga tetapi juga untuk menggembirakan tetamu yang datang berkunjung bagi menikmati kek lapis yang pelbagai,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di majlis Rumah Terbuka mereka di Kampung Kelka Tengah, semalam.

Tambahnya, antara kek paling istimewa ialah Kek Ati Parik yang disediakan mengikut kaedah tradisional. 

“Proses pembuatannya memakan masa lima jam, yang mana ia digaul dalam kuali panas sebelum dikukus selama 20 minit.

“Menghasilkan tekstur lembut dan kaya dengan rasa kismis sebagai bahan utama. Setiap loyang kek yang sudah siap boleh mencapai berat hingga 6 kilogram,” jelasnya.

IKUT TRADISI… Nazila Talip bersama keluarganya menghidangkan sebanyak 30 kek lapis sempena Aidilfitri ini.

Tidak hanya Wan Salem dan isterinya, bahkan menantu mereka, Nazila Talip, 38, turut menyumbang kepada kemeriahan Aidilfitri tahun ini dengan menyediakan 30 jenis kek lapis di rumahnya sendiri.

Menurut Nazila, pembuatan 30 jenis kek lapis tersebut menyediakan rasa tradisional serta rasa moden, yang memakan anggaran jumlah kos bahan melebihi RM3,000.  

“Kek paling premium yang dihasilkan ialah kek lapis Baklava, berharga RM650 seloyang kerana penggunaan kacang pistachio berkualiti tinggi. 

PALING PREMIUM… Kek lapis Baklava yang dihidangkan di kediaman Nazila Talip.

“Namun, bagi saya kepuasan sebenar bukan pada kemegahan kek lapis yang dihasilkan, tetapi pada peluang bersedekah. Hari Raya bukan sekadar meraikan, tetapi waktu terbaik untuk berkongsi rezeki. 

“Sebab itu saya suka buat banyak kuih, bukan hanya untuk keluarga tetapi juga untuk semua tetamu yang datang. Mereka tidak hanya boleh merasainya (kek lapis) di sini, tetapi boleh juga bawa pulang,” luahnya.

MERIAH… Kemeriahan tetamu mencuba dan membungkus pelbagai kek lapis untuk dimakan dan dibawa pulang ke rumah.

Nazila menjelaskan, tradisi itu bukan sahaja mengeratkan hubungan keluarga tetapi juga membawa kegembiraan kepada sesiapa sahaja yang bertandang ke rumah mereka. 

“Dengan bau harum kek lapis yang memenuhi ruang rumah, suasana Aidilfitri menjadi lebih istimewa, menghidupkan nostalgia dan kehangatan lebaran yang penuh makna,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Rumah Terbuka Aidilfitri Premier tarik 24,353 pengunjung
Next: Abang Johari teruskan kunjungan Aidilfitri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.