Rumah Terbuka Aidilfitri Premier tarik 24,353 pengunjung

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergambar kenangan bersama tetamu kenamaan ketika hadir pada hari kedua majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Foto HERRIEY NAHA

KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berjaya menarik kehadiran sekitar 24,353 pengunjung sepanjang dua hari berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menurut rekod rasmi pihak pengurusan BCCK, seramai 13,045 pengunjung telah menghadiri majlis ini pada hari pertama, manakala 11,308 pengunjung direkodkan pada hari kedua.

BERAMAH MESRA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg beramah mesra dengan pengunjung. Foto HERRIEY NAHA

Seawal 8.30 pagi, orang ramai sudah mula membanjiri ruang legar BCCK, meskipun majlis hanya bermula pada 10.00 pagi.

Kemeriahan bertambah apabila tetamu dari pelbagai kaum dan agama hadir, sebahagiannya mengenakan pakaian tradisional etnik masing-masing, mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak.

MERIAH… Suasana majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Foto HERRIEY NAHA

Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin negeri yang mengambil peluang untuk beramah mesra dengan rakyat dalam suasana mesra dan inklusif.

Para tetamu bukan sahaja menikmati pelbagai juadah istimewa, malah turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang menceriakan suasana.

Foto HERRIEY NAHA

Majlis yang diadakan setiap tahun ini terus membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak dalam meraikan perayaan tanpa mengira latar belakang.
Oleh Masrin Affirah