Eksklusif: Rumah Radakng teguh berdiri, lambang perpaduan dan warisan masyarakat Dayak

Facebook
WhatsApp
RUMAH Radakng di Pontianak berdiri megah sebagai lambang perpaduan dan warisan masyarakat Dayak. Seni bina rumah panjang yang dihiasi ukiran tradisional terus menjadi tarikan pelancong serta pusat pelaksanaan pelbagai aktiviti kebudayaan di Kalimantan Barat. Foto Norman B

PONTIANAK: Berdiri megah di tengah Kota Pontianak dengan seni bina tradisional yang memukau, Rumah Radakng bukan sekadar mercu tanda kebudayaan, malah menjadi lambang perpaduan, persaudaraan dan jati diri masyarakat Dayak yang terus utuh merentasi zaman.

Rumah adat yang turut dikenali sebagai rumah panjang atau rumah betang itu menyimpan sejarah panjang kehidupan masyarakat Dayak yang berteraskan semangat kebersamaan, saling membantu dan bergotong-royong. Nilai-nilai itu terus terpahat kukuh dalam setiap ruang dan ukiran yang menghiasi bangunan ikonik tersebut.

TEGUH merentasi zaman, Rumah Radakng bukan sekadar rumah adat, tetapi menjadi saksi kepada kekayaan budaya, semangat persaudaraan dan identiti masyarakat Dayak yang terus dipelihara di bumi Kalimantan Barat. Foto Norman B

Rumah Radakng dibina sebagai sebahagian daripada pembangunan Kampung Budaya Kalimantan Barat bagi memastikan khazanah budaya masyarakat Dayak terus dipelihara, diperkasakan dan diperkenalkan kepada generasi baharu serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Dengan panjang kira-kira 138 meter, lebar 15 meter dan ketinggian tujuh meter, Rumah Radakng merupakan antara rumah adat terbesar di Indonesia.

Reka bentuk rumah panggung yang dihiasi ukiran serta motif tradisional Dayak menyerlahkan kehalusan seni bina warisan yang menjadi kebanggaan masyarakat pribumi Kalimantan.

KEUNIKAN seni bina Rumah Radakng di Pontianak menyerlahkan warisan masyarakat Dayak yang kaya dengan nilai perpaduan, adat resam dan semangat kebersamaan. Foto Norman B

Suatu ketika dahulu, rumah panjang berfungsi sebagai kediaman beberapa keluarga di bawah satu bumbung, selain menjadi pusat bermusyawarah, pelaksanaan adat istiadat, penyelesaian perselisihan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Konsep kehidupan secara kolektif itu mencerminkan eratnya hubungan kekeluargaan dan perpaduan yang menjadi asas kehidupan masyarakat Dayak.

UKIRAN tradisional pada tiang-tiang Rumah Radakng yang dihiasi replika Burung Kenyalang menyerlahkan keunikan seni bina masyarakat Dayak, sekali gus menjadikan rumah adat ini antara ikon kebudayaan paling terkenal di Pontianak, Kalimantan Barat. Foto Norman B

Kini, Rumah Radakng terus menghidupkan warisan tersebut apabila menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Pekan Gawai Dayak, Naik Dango, persembahan seni tradisional dan pameran kebudayaan yang menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai daerah serta negara.

Lebih daripada sekadar destinasi pelancongan, Rumah Radakng menjadi saksi kepada usaha berterusan masyarakat dan pemerintah tempatan dalam memelihara identiti, adat resam serta warisan budaya Dayak agar terus mekar di tengah arus pembangunan moden, sekali gus memastikan nilai dan sejarah masyarakat pribumi Kalimantan terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Oleh Norman B

LEBIH daripada sebuah rumah adat, Rumah Radakng menjadi simbol kekuatan adat, budaya dan jati diri masyarakat Dayak yang terus dipertahankan di tengah arus pembangunan moden. Foto Norman B

Berjaya jangan bergaya

SETIAP manusia menginginkan kejayaan. Ada yang mengejarnya melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan, kepimpinan, kekayaan atau kedudukan dalam masyarakat. Kejayaan sering dilihat