Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Bertandak kian dilupakan, usaha pelestarian perlu diperkasakan
  • TEMPATAN

Eksklusif: Bertandak kian dilupakan, usaha pelestarian perlu diperkasakan

Utusan Sarawak 5 hours ago
 TERUSKAN PERJUANGAN….Azhar (kanan) dan anaknya Aiman (kiri) merupakan salah satu pasangan yang mengambil bahagian dalam pertandingan bertandak pada program pertunjukan pentas di Dewan Masyarakat Kampung Tian, Matu malam tadi.

MATU: Amalan tarian tradisional bertandak dalam kalangan masyarakat kini semakin jarang dipersembahkan, khususnya dalam majlis keramaian seperti perkahwinan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan warisan budaya tersebut.

Azhar Mohamad,58 dari Kampung Panchor Daro berkata, aktiviti berkumpul untuk mempersembahkan bertandak tidak lagi dilakukan secara kerap seperti dahulu dan hanya diadakan sekali-sekala.

“Dulu kita biasa berkumpul dan bertandak, tetapi sekarang jarang-jarang. Kalau ada pun, hanya sekali-sekala,” katanya kepada Utusan Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Tian, malam tadi.

Beliau mewarisi tarian tradisional itu sejak turun temurun dan kini menurunkannya kepada anaknya agar tarian itu tidak hilang ditelan zaman.

“Ya, kami dengan tarian bertandak ini memang sejak dari nenek kami lagi, dimana ketika itu tarian ini amat popular di Matu amnya dan Sarawak secara keseluruhannya.

“Saya mempelajari kemahiran tarian tradisional ini daripada mereka dan kini menurunkan kemahiran tarian ini kepada anak saya agar ia tidak lenyap begitu saja.

“Biarlah tarian ini terus kekal selamanya kerana ia adalah salah satu daripada warisan kebudayaan kita di Sarawak,” ujarnya dengan penuh semangat.

Azhar pernah menyertai persembahan bertandak di Kuching yang melibatkan penyertaan dari pelbagai kampung, sekali gus menunjukkan usaha memartabatkan semula budaya tersebut masih wujud.

Katanya lagi, program dan aktiviti berkaitan bertandak perlu diperbanyakkan lagi sebagai platform untuk mengajar serta memperkenalkan tarian itu kepada generasi muda.

MERIAH….Para peserta menunjukkan kemahiran masing-masing pada pertandingan bertandak pada program pertunjukan pentas di Dewan Masyarakat Kampung Tian, Matu malam tadi.

“Sekarang ini, dalam majlis perkahwinan pun sudah jarang kita lihat orang bergendang dan bertandak. Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian,” ujarnya.

Beliau berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk menghidupkan kembali budaya bertandak, sekali gus meningkatkan semangat komuniti serta memberi peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat mereka.

“Biarlah usaha ini dapat memperkenalkan tandak kepada anak-anak kita dan memastikan warisan ini terus kekal untuk generasi akan datang,” katanya.

Azahar bersama anaknya Aiman Qabil Abdullah merupakan salah satu pasangan yang mengambil bahagian dalam pertandingan bertandak pada program pertunjukan pentas di Dewan Masyarakat Kampung Tian, Matu malam tadi.

Seramai 16 pasangan lelaki dan empat pasangan wanita berentap pada pertandingan tersebut.

Sementara itu, Aiman berkata, usaha memperkenalkan warisan budaya tempatan itu perlu dipergiatkan agar terus dikenali, khususnya melalui platform media.

Katanya, pelbagai lokasi dan komuniti di Sarawak mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan kepada umum.

Menurutnya, pengalaman lebih lima tahun dalam tarian bertandak banyak memberi pendedahan dan ilmu untuk diperturunkan kepada generasi seterusnya.

“Kita belajar daripada orang lama dalam seni tarian tradisional ini kerana mereka banyak menyumbang dalam memperkenalkan budaya tradisional ini,” katanya.

Tambahnya, usaha mempromosikan warisan lama perlu diteruskan dengan sokongan generasi muda agar tidak pupus ditelan zaman.

“Sayangnya, minat golongan muda semakin berkurangan. Jadi, penting untuk kita terus memperkenalkan lagi budaya tradisional ini supaya kekal relevan,” ujarnya.

Beliau berharap lebih banyak inisiatif dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan budaya, sekali gus memelihara identiti masyarakat untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Tarian bertandak dan bermukun terus menjadi warisan seni tradisional yang memeriahkan pentas kebudayaan di Sarawak, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Melanau di negeri ini.

Kedua-dua seni persembahan itu bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, malah menjadi medium penting dalam mengekalkan nilai adat, kesopanan serta kehalusan budi bahasa yang diwarisi turun-temurun

Tarian bertandak lazimnya dipersembahkan secara berpasangan dengan gerak tari yang lemah gemalai dan penuh tertib, diiringi alunan muzik tradisional seperti biola, gendang dan gong.

Persembahan tersebut sering menghiasi majlis keramaian termasuk kenduri kahwin, pesta komuniti dan program kebudayaan, sekali gus mencerminkan keharmonian serta interaksi sopan antara penari lelaki dan wanita.

Sementara itu, bermukun pula menampilkan keunikan tersendiri melalui nyanyian berbalas pantun antara tukang mukun dan penandak yang disampaikan secara spontan.

Pantun yang dilagukan lazimnya sarat dengan unsur jenaka, nasihat serta sindiran halus, menjadikan persembahan itu bukan sahaja menghiburkan malah mencabar kreativiti serta kepetahan penghibur.

Gabungan muzik tradisional, tarian dan seni berpantun dalam bermukun menjadikannya satu bentuk hiburan yang dekat dengan masyarakat dan terus mendapat tempat dalam acara kebudayaan di Sarawak.

Sehubungan itu, usaha memelihara dan memperkasa kedua-dua warisan seni ini perlu diteruskan agar tidak lapuk ditelan zaman, selain dapat diperkenalkan kepada generasi muda sebagai identiti budaya Sarawak yang unik.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Isu KMKK, bekalan air perlu diberi perhatian serius – Tiong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.