
PETRA JAYA: Kepuasan pelanggan, kualiti hidangan serta keseimbangan antara rasa dan dekorasi menjadi keutamaan buat pengasas EK Dessert, Azzahra Mansor dalam memastikan setiap tempahan yang diterima tampil memuaskan dan meninggalkan pengalaman manis buat pelanggan.
Bermula sekadar perniagaan pakaian ketika tempoh pandemik COVID-19, siapa sangka jenama ‘Everything Kacak’ atau EK kini semakin dikenali menerusi perkhidmatan meja pencuci mulut dan katering kreatif untuk pelbagai acara di negeri ini.
Menurut Azzahra, idea untuk menceburi bidang pencuci mulut bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila perniagaan pakaian yang diusahakan mula perlahan sebelum mereka beralih menjual pencuci mulut secara penghantaran dari rumah.
“Dari situ kami nampak sambutan terhadap pencuci mulut sangat baik. Kemudian masa adik saya kahwin, dia minta nak ada hidangan pencuci mulut yang pelbagai untuk majlis dia, jadi saya cuba buat sendiri.
“Selepas saya muat naik hasil dekorasi itu pada 2023, seminggu selepas itu terus muncul pelanggan pertama kami dan sejak itu EK Dessert mula berkembang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Kini, EK Dessert menyediakan perkhidmatan meja pencuci mulut dan katering kreatif untuk pelbagai jenis acara termasuk sambutan hari lahir, majlis perkahwinan, acara korporat hinggalah program kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Menurutnya, antara cabaran terbesar dalam industri tersebut adalah memenuhi kehendak pelanggan yang kini bukan sahaja mementingkan rasa makanan, tetapi juga aspek dekorasi dan persembahan.
“Pelanggan sekarang bukan nak pencuci mulut sedap saja, mereka nak dekorasi yang cantik dan estetik juga.
“Sebab itu kami sentiasa pastikan pencuci mulut yang dibuat segar, berkualiti tinggi, sedap dan dalam masa sama nampak cantik mengikut tema yang pelanggan mahukan,” jelasnya.
Tambah beliau, EK Dessert juga antara perintis awal perkhidmatan meja pencuci mulut di Sarawak sekali gus membantu jenama itu membina kepercayaan pelanggan sehingga kini.
Dalam pada itu, Azzahra turut berkongsi antara pengalaman yang paling diingati adalah apabila diberi peluang mengendalikan hidangan pencuci mulut untuk acara besar termasuk program anjuran Sarawak Energy sempena sambutan Hari Wanita.
Dalam memastikan setiap acara berjalan lancar, beliau turut dibantu suaminya, Mohd Azizi Mohd Derman.
Azzahra berkata, suaminya memainkan peranan penting terutama ketika proses persiapan dan pemasangan dekorasi di lokasi acara.



“Saya sangat beruntung kerana mempunyai suami yang sentiasa memberi sokongan sepanjang saya menjalankan perniagaan ini.
“Dia banyak membantu dalam persiapan dekorasi, menguruskan peralatan seperti chocolate fountain serta sentiasa memberi semangat dan sokongan moral,” katanya.
Sementara itu, Azizi berkata, persiapan bagi acara besar lazimnya dilakukan lebih awal bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Kalau acara besar, biasanya dua jam sebelum majlis kami dah mula buat persiapan sebab banyak benda perlu disiapkan termasuk dekorasi dan pemasangan mesin,” katanya.
Ketika ini, EK Dessert menerima sekurang-kurangnya dua tempahan seminggu dan boleh mencecah sehingga 10 tempahan sebulan bergantung kepada musim dan acara.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Azzahra berkata beliau berharap EK Dessert dapat berkembang ke seluruh Sarawak menerusi konsep francais selain terus menawarkan pengalaman pencuci mulut yang eksklusif dan berkualiti kepada pelanggan.
EK Dessert turut menawarkan pelbagai pakej pencuci mulut dan katering kreatif mengikut keperluan pelanggan sama ada untuk majlis kecil mahupun acara berskala besar.
Antara pakej yang mendapat sambutan adalah hidangan pencuci mulut dan sajian ringan lengkap dengan dekorasi meja mengikut tema bermula serendah RM600 sehingga RM1,500 bergantung kepada jenis hidangan dan jumlah tetamu.
Selain itu, EK Dessert turut menyediakan pelbagai konsep moden dan interaktif seperti chocolate fountain bar, charcuterie cart, popcorn station serta ice cream bar yang sesuai untuk majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, acara korporat dan festival.
Menariknya, setiap dekorasi dan susun atur hidangan ditampilkan mengikut tema serta identiti majlis pelanggan bagi memastikan pengalaman yang lebih eksklusif dan estetik.
Dalam memastikan kelancaran acara, EK Dessert juga menyediakan kru hidangan, tempoh sajian sehingga tiga jam serta persiapan dekorasi yang dilakukan satu hingga dua jam sebelum majlis bermula bergantung kepada jumlah tetamu dan konsep acara.
Oleh Shahrul Qaizat