KUCHING: e-Sukan bukan lagi sekadar aktiviti bermain permainan video, sebaliknya berkembang menjadi satu industri yang mampu membuka pelbagai peluang dalam teknologi, penciptaan kandungan, penyiaran, keusahawanan dan kerjaya digital.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata pembangunan ekosistem esukan perlu dimanfaatkan bagi memberi ruang kepada anak muda membina kemahiran serta mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, peluang dalam industri berkenaan bukan hanya tertumpu kepada pemain, malah turut merangkumi kerjaya sebagai jurulatih, penganalisis, pengurus pasukan, pencipta kandungan, penstrim, penyiar, pereka bentuk, penerbit, juruteknik dan pengurus acara.
“Penyertaan membawa kepada kemahiran baharu, kemahiran membawa kepada peluang baharu, manakala peluang membawa kepada kerjaya dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawah, di sini, hari ini.
Dr Sim, yang juga ADUN Batu Kawah, berkata usaha membangunkan ekosistem esukan perlu bermula dari peringkat akar umbi dengan membawa program seumpama itu lebih dekat kepada komuniti, termasuk di kawasan luar bandar.
Katanya, jelajah PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak yang berlangsung di 21 lokasi di seluruh Sarawak berjaya menghimpunkan lebih 3,200 peserta, termasuk dari Kapit, Lundu, Bintulu dan Bau.

Menurutnya, penyertaan dari pelbagai kawasan itu membuktikan bakat esukan boleh muncul dari mana-mana sahaja dan tidak terhad kepada kawasan bandar.
“Bakat boleh datang dari mana-mana. Anda boleh datang dari pedalaman, tetapi menjadi bertaraf dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata Sarawak perlu membina ekosistem e-sukan yang lebih kukuh supaya negeri ini bukan sahaja mampu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa, malah menjadi destinasi kepada komuniti esukan dari luar negara.
Beliau berkata sasaran itu perlu dimulakan dengan pembangunan bakat secara berperingkat sebelum mereka diketengahkan ke pentas negeri, kebangsaan dan akhirnya antarabangsa.
“Kita mahu mereka datang ke Sarawak untuk belajar, mengalami, berhubung dan mendapat inspirasi,” katanya.
Katanya, Sarawak tidak seharusnya hanya menghantar bakat tempatan ke luar untuk bertanding, sebaliknya perlu membina keupayaan sehingga pemain dan komuniti antarabangsa datang ke negeri ini untuk berlatih, bertanding serta membina jaringan.
Beliau turut menyifatkan e-sukan sebagai sebahagian daripada masa depan ekonomi digital Sarawak yang mempunyai potensi besar untuk berkembang bersama bidang teknologi dan industri kreatif.
Dr Sim berkata kemahiran yang dibangunkan menerusi esukan seperti kerja berpasukan, disiplin, komunikasi, pemikiran strategik, kepimpinan dan keupayaan membuat keputusan ketika berada di bawah tekanan turut mempunyai nilai dalam dunia pekerjaan.
Menurutnya, pembangunan bakat esukan memerlukan latihan, pertandingan, disiplin dan sokongan berterusan bagi memastikan minat golongan muda dapat diterjemahkan kepada kemahiran, peluang kerjaya serta keusahawanan.
“Jangan berhenti pada bermain permainan sahaja. Melalui e-sukan, kita mahu membangunkan satu ekosistem dan satu set peluang baharu,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi





