Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras diluluskan dengan sokongan majoriti ahli dewan
  • SEMASA

DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras diluluskan dengan sokongan majoriti ahli dewan

Utusan Sarawak 3 hours ago
MENTERI Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika menggulung perbahasan RUU Lembaga Padi dan Beras pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh keselamatan makanan dan pembangunan industri padi negeri secara lebih tersusun.

Seramai 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut yang menyentuh pelbagai aspek termasuk keselamatan makanan, pembangunan jelapang padi moden, isu tanah, penggunaan teknologi pertanian serta usaha meningkatkan tahap sara diri beras Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penubuhan lembaga tersebut akan membawa beberapa perubahan dasar penting termasuk pembangunan kawasan penanaman padi di atas tanah kerajaan bagi memastikan perancangan jangka panjang dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.

Menurut beliau, pewartaan tanah kerajaan untuk pembangunan padi juga penting bagi menjamin ketersediaan tanah selain mengelakkan konflik guna tanah pada masa hadapan.

Katanya, pendekatan tersebut akan memudahkan pembangunan ladang padi moden berskala besar termasuk pelaksanaan sistem pengairan dan mekanisasi yang lebih cekap.

“Penyertaan sektor swasta menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) juga penting bagi mempercepat pembangunan sektor ini melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan sumber,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU tersebut pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjelaskan isu berkaitan projek pembangunan padi Batang Lupar yang dibangkitkan beberapa ahli dewan semasa perbahasan.

Menurut beliau, projek dicadangkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) 11 pada 2013 itu melibatkan kawasan seluas 5,100 hektar dengan anggaran kos RM950 juta serta memberi manfaat kepada lebih 5,000 peserta.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek berdepan cabaran besar susulan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk kesukaran mendapatkan persetujuan pemilik tanah bagi proses penyusunan semula kawasan.

“Pembangunan ladang padi moden memerlukan penyusunan semula tanah bagi membolehkan mekanisasi serta sistem pengairan dan saliran dilaksanakan secara lebih sistematik.

“Namun, terdapat pemilik tanah yang tidak bersetuju menyebabkan pembangunan hanya dapat dilaksanakan pada peringkat infrastruktur utama dan sekunder,” katanya.

Beliau berkata dari 2013 hingga 2025, sebanyak 1,306 hektar kawasan berjaya dibangunkan melibatkan kos RM148.7 juta serta memberi manfaat kepada 664 petani.

Namun, selepas infrastruktur siap dibangunkan, sebahagian pemilik tanah didapati menukar penggunaan tanah kepada tanaman lain terutama kelapa sawit.

Dalam pada itu, Stephen Rundi berkata beras premium Sarawak kini menjadi satu-satunya beras tempatan yang direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai mempunyai lesen eksport antarabangsa termasuk ke Singapura, New Zealand dan Hong Kong.

Katanya, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak akan memperkukuh lagi potensi pengeluaran serta eksport beras premium negeri secara lebih tersusun dan berdaya saing di pasaran global.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Ribut petir, hujan lebat dijangka landa hampir semua negeri termasuk Sarawak
Next: DUN: Lebih 500 varieti padi Sarawak perlu dilindungi, diangkat jadi produk premium

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.