
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda hampir semua negeri di seluruh negara hingga 7.00 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran itu melibatkan keseluruhan negeri Kelantan dan Johor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
Negeri lain termasuk Kedah (Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Perak (Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
Keadaan sama diramal berlaku di Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
Amaran itu turut melibatkan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat) dan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin).
Bagi Sarawak pula, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kuching, Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu (Tatau), Miri (Subis dan Beluru) dan Limbang.
Di Sabah, amaran sama melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan).
-Bernama