KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukan RM510.5 juta untuk melaksanakan 14 Projek Pembaharuan Bandar di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) melalui tiga agensi kerajaan negeri.
Agensi terbabit ialah Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam usaha meneruskan agenda meningkatkan kesejahteraan dan sosioekonomi rakyat.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara objektif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan rumah mampu milik yang selesa dan teratur.
“Penempatan terancang yang dilengkapi dengan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan rekreasi, tempat ibadah dan premis perniagaan untuk pembangunan sosioekonomi penduduk setempat turut disediakan.
“Sejumlah 14 projek Pembaharuan Bandar dilaksanakan, semuanya berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Awang Tengah juga berkata kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sejumlah 7,000 lot kediaman di Jepak Jaya bagi menampung keperluan penduduk di Bintulu melalui Program Pembaharuan Bandar dan Skim Pembesaran Kampung (SPK).
Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dalam RMK-12 dan RMK-13.
Katanya sebagai permulaan, pada tahun hadapan sejumlah 580 unit rumah mampu milik akan dibina di Jepak, manakala 799 lot kediaman akan dibangunkan di SPK Jelutong.
“Pihak BDA juga telah mendapat kelulusan tapak bagi melaksanakan pembinaan sejumlah 1,600 unit rumah mampu milik di kawasan Sepadok dan Sungai Plan. Di samping itu, warga Bintulu juga disaran untuk mengambil peluang mendapatkan rumah mampu milik yang disediakan oleh pihak swasta,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beberapa cadangan baharu projek Pembaharuan Bandar akan dicadang di bawah Kajian Semula Separuh Penggal RMK-12 nanti.
Ini sebagai inisiatif berterusan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan hala tuju Sarawak Maju menjelang 2030.
“Sementara itu, Projek Pembangunan Darul Hana melibatkan perpindahan fasa pertama penduduk dari Kampung Semarang dan Kampung Panglima Seman Lama telah bermula sejak Ogos 2022.
“Perpindahan fasa pertama ini melibatkan 310 Ketua Isi Rumah (KIR) dan dijangka diselesaikan sepenuhnya ke Darul Hana pada hujung tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, menurut Awang Tengah, pembangunan bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan di luar bandar turut diberi perhatian khusus.
Ini bagi memastikan jurang ekonomi antara kawasan bandar dengan luar bandar dapat dirapatkan.
Oleh itu, katannya, kerajaan Sarawak melalui LCDA dalam RMK-12 akan meneruskan projek Bandar Baru Sebuyau, Samarahan; Bandar Baru Simunjan, Samarahan; Pekan Baru Kabong, Betong; Bandar Baru Daro Fasa II, Mukah.
Pusat Perkhidmatan Lingga, Sri Aman; Pusat Perkhidmatan Matu, Mukah; Pusat Perkhidmatan Igan, Mukah; Pusat Perkhidmatan Matadeng, Mukah dan Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok, Lawas.
Oleh NUR AIN OTSMAN