
PETRA JAYA: Violet Yong (DAP-Pending) mempersoalkan ketelusan pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) yang didakwa membebankan majikan serta menuntut kerajaan negeri menjelaskan aliran kutipan melibatkan ratusan juta ringgit setahun.
Beliau berkata, isu itu dibangkitkan semasa sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu lalu, khususnya berkaitan bayaran sebanyak RM1,854 yang dikenakan bagi setiap pekerja asing melalui program dikendalikan FWTA Sdn Bhd itu.

Menurutnya, berdasarkan anggaran kira-kira 100,000 permit pekerja asing dipohon dan dikeluarkan setiap tahun di Sarawak, jumlah kutipan keseluruhan boleh mencecah sekurang-kurangnya RM200 juta setahun.
“Persoalan saya mudah, berapa peratus daripada RM1,854 itu disalurkan kepada kerajaan negeri dan berapa pula kepada syarikat terbabit?
“Majikan kini terpaksa menanggung kos tambahan yang besar dan mereka berhak mengetahui ke mana wang itu disalurkan,” katanya pada sidang media di Bilik Media DUN Sarawak, hari ini.
Beliau mendakwa Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai yang menjawab isu tersebut di DUN enggan memberi laluan bagi penjelasan lanjut ketika beliau cuba mendapatkan jawapan tambahan berhubung perkara itu.
Katanya, kegagalan kerajaan memberi penjelasan terperinci menimbulkan persepsi seolah-olah terdapat maklumat yang cuba disembunyikan.
Menurut Violet, maklumat yang diperoleh pihaknya mendakwa keseluruhan kutipan tambahan RM1,800 lebih bagi setiap pekerja asing itu disalurkan kepada syarikat swasta terbabit tanpa sebarang perkongsian hasil kepada kerajaan negeri.
“Ini tambahan prosedur yang tidak dikenakan di negeri-negeri lain dan akhirnya semua kos itu ditanggung majikan di Sarawak.
“Kalau benar keseluruhan wang itu pergi kepada syarikat swasta, kerajaan perlu jelaskan mengapa syarikat ini begitu istimewa sehingga diberi kuasa mengendalikan kutipan sebesar ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan proses pelantikan syarikat berkenaan termasuk sama ada tender terbuka pernah dipanggil atau penilaian dilakukan sebelum pelaksanaan FWTA itu.
Selain itu, Violet berkata semakan syarikat mendapati FWTA Sdn Bhd hanya mempunyai seorang pengarah dan seorang pemegang saham, selain maklumat kewangannya juga tidak dapat diteliti secara terbuka kerana dikecualikan daripada pendedahan tertentu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, keadaan itu menimbulkan lebih banyak persoalan memandangkan syarikat tersebut terlibat secara langsung dalam pengurusan pekerja asing bersama kerajaan negeri.
“Kalau benar ini kerjasama rasmi dan telus dengan kerajaan, tiada sebab untuk maklumat kewangan disembunyikan daripada penelitian umum,” katanya lagi.
Beliau berkata sektor seperti perkilangan, perladangan sawit, perkhidmatan serta majikan pembantu rumah antara yang terkesan dengan kos tambahan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa kerajaan Sarawak tampil memberikan penjelasan penuh berhubung mekanisme kutipan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing serta manfaat sebenar yang diperoleh kerajaan negeri daripada pelaksanaan program tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat