
KUCHING: Seorang ketua polis daerah di Sarawak kini disiasat berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anggota polis wanita bawahannya.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kebenaran laporan berkenaan.
“(Setakat ini) Itu dakwaan sahaja, belum tentu betul. Kita siasat dulu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sama membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa gangguan pegawai kanan terbabit yang dikatakan berlaku di tempat kerja serta kediaman pegawai berkenaan. – Bernama